Utusan Borneo (Sabah)

K’jaan tidak akan tolak ansur dengan pihak cuba kacau keharmonia­n negara: PM

-

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis menegaskan kerajaan akan memastikan keharmonia­n dan keamanan negara tidak diperlekeh­kan oleh sesiapa.

Sehubungan itu, perdana menteri memberi amaran kerajaan tidak akan bertolak ansur dan akan bertindak mengikut peruntukan undang-undang yang ada untuk memastikan perkara tersebut.

“Jika ada pihak yang melanggar undang-undang untuk kepentinga­n diri mereka sahaja, maka kerajaan yang mendokong prinsip “rule of law”, juga akan bertindak berdasarka­n undang-undang,” katanya di Dewan Rakyat.

Dr Mahathir membuat kenyataan itu susulan insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, USJ25, Subang Jaya, Isnin.

Tegasnya, ia bukan niat kerajaan untuk menghukum sesiapa secara buta-tuli, tetapi demokrasi mempunyai batasnya dan semua pihak harus faham akan batasbatas demokrasi ini.

“Tidak ada sesiapa yang boleh bertindak sesuka hati melanggar undang-undang dan menimbulka­n keresahan di kalangan rakyat dan kekecohan dalam negara,” katanya.

Dr Mahathir juga sekali lagi menekankan bahawa insiden tersebut bukan isu perkauman atau berkaitan agama tetapi tindakan jenayah yang tidak harus diberi sebarang ruang untuk merosakkan hubungan antara kaum di negara ini.

Katanya, kerajaan juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap sebarang usaha provokasi dan terhadap mereka yang cuba mencabar undang-undang negara.

“Kerajaan telah berjanji tidak melakukan sebarang halangan untuk pemberitaa­n dan komunikasi tetapi kebebasan ini harus digunakan dengan penuh tanggungja­wab dan bukan untuk mengapi-apikan keadaan yang boleh membawa kepada perpecahan dan keharmonia­n perhubunga­n antara kaum.

“Ini juga bukan masanya untuk menuding jari terhadap sesiapa. Pihak polis sudahpun diberi tanggungja­wab untuk mengawal ketenteram­an serta menjalanka­n siasatan. Yang bersalah akan tetap bersalah dan akan menghadapi tindakan undang-undang yang sewajarnya,” katanya. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia