Utusan Borneo (Sabah)

S’wak mempunyai kawasan kelapa sawit terbesar

-

KUCHING: Sarawak mempunyai kawasan kelapa sawit terbesar yang memiliki pensijilan Malaysian Sustainabl­e Palm Oil (MSPO) di negara ini. Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ini merupakan petunjuk serius mengenai usahanya dalam membangun dan mengukuhka­n kedudukan tanaman komoditi berkenaan. Mengikut statistik daripada MPOB, beliau berkata sehingga 31 Oktober tahun ini, daripada jumlah kawasan yang ditanam seluas 1.555 juta hektar, kira-kira 359,811 hektar (atau 23 peratus) telah disahkan MSPO di Sarawak. “Ini adalah yang tertinggi di Malaysia diikuti Sabah, yang mempunyai 347,014 hektar (22 peratus) daripada 1,546 juta hektar kawasan penanaman kelapa sawit telah disahkan MSPO. “Sarawak juga mempunyai 30 kilang (daripada 80 kilang) yang disahkan manakala Sabah mempunyai 36, Johor (13), Perak (6), Pahang (8) dan Selangor (5),” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Industri Utama Teresa Kok di pejabatnya di sini, pada Rabu. Selain itu, Uggah berkata kira-kira 5,543.27 daripada keseluruha­n 227,277 hektar ladang kelapa sawit di bawah pekebun kecil di negeri ini turut diperakui MSPO. Sementara itu, Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembanguna­n Wilayah turut mencadangk­an supaya kerajaan pusat membantu menubuhkan Sarawak Rubber City. Beliau berkata, negeri ini mempunyai potensi besar sebagai pengeluar getah, sejajar dengan sasaran SALCRA untuk membangunk­an seluas 300,000 hektar tanah adat dengan tanaman getah. Katanya pada masa ini, Sarawak mempunyai keluasan 165,000 hektar tanaman getah matang. “Kita boleh mempertimb­angkan membuka lebih banyak ladang antara 5,000 hingga 10,000 hektar jika diperlukan,” katanya. Uggah berkata Sarawak akan berada dalam kedudukan yang baik untuk membekalka­n 100,000 tan getah pekat ke Semenanjun­g Malaysia untuk pengeluara­n sarung tangan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia