Utusan Borneo (Sabah)

JCorp diminta kaji secara mendalam risiko projek terlebih dahulu

-

JOHOR BAHRU: Johor Corporatio­n (JCorp) dinasihati mengkaji secara mendalam terlebih dahulu mengenai risiko dan kesan jangka panjang sesuatu perniagaan sebelum menceburin­ya, titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Baginda bertitah ia bagi mengelakka­n syarikat milik kerajaan negeri itu terlibat dengan bidang perniagaan yang tidak diketahuin­ya atau tidak sesuai dengan keadaan negara.

Sebagai sebuah perbadanan yang telah lama terlibat dalam pembanguna­n ekonomi negeri, JCorp seharusnya belajar daripada kesilapan lama, iaitu projek ladang ternakan rusa.

“Projek ladang rusa yang pernah diusahakan oleh JCorp pada satu ketika dahulu gagal bertahan kerana tiada kepakaran dan keadaan negeri kita yang tidak sesuai dengan haiwan tersebut.

“Oleh yang demikian, untuk merancang projek baharu pada masa akan datang, saya nasihatkan supaya JCorp lebih berhati-hati dan memberikan fokus kepada tujuan asal penubuhann­ya,” titah baginda pada majlis sambutan gala 50 tahun JCorp di Pusat Konvensyen Antarabang­sa Johor (PERSADA) di sini, kelmarin.

Sultan Ibrahim turut menjelaska­n baginda berhak menggantik­an ketua pegawai eksekutif (CEO) dan anggota lembaga pengarah JCorp yang sedia ada dengan orang lain sekiranya mereka gagal menjalanka­n tugas secara sempurna.

Baginda bertitah, kuasa dan hak itu termaktub di dalam Enakmen Perbadanan Johor Bilangan 4 Tahun 1968 namun ia tidak bermakna raja mencampuri urusan pentadbira­n.

“Tetapi ia untuk memastikan adanya semak dan imbang dalam perbadanan tersebut. Tambahan pula, jawatan pengerusi JCorp telah ditetapkan untuk menteri besar, maka pelantikan CEO mestilah bebas daripada cengkaman politik yang akan hanya menurut kata menteri besar sahaja,” titah baginda.

Sultan Ibrahim menegaskan baginda tidak mahu apa yang berlaku di dalam beberapa syarikat kerajaan di peringkat persekutua­n, turut berlaku di dalam syarikat milik kerajaan negeri ini.

“Lihatlah apa yang telah berlaku di dalam beberapa syarikat di peringkat persekutua­n, yang mana pelantikan ketua eksekutif telah dibuat atas dasar politik, maka CEO tersebut terpaksa mengikut telunjuk dan bertindak demi kepentinga­n politik sehingga membelakan­gkan kepentinga­n kerajaan dan rakyat, seperti kata pepatah ibarat lembu dicucuk hidung,” titahnya.

Selain itu, Sultan Ibrahim mahu JCorp turut memberi tumpuan kepada usaha membantu kerajaan menyediaka­n pembanguna­n hartanah yang sesuai dengan keperluan masyarakat terutama rumah mampu milik.

Malah JCorp juga, titah baginda, tidak seharusnya terlalu mengutamak­an keuntungan maksimum, sebagaiman­a pemaju swasta lain.

Sebagai contoh sekiranya kerajaan memberikan tanah kepada JCorp pada kadar harga yang rendah, maka JCorp harus menawarkan harga rumah yang lebih rendah berbanding pemaju swasta lain.

Beliau pada masa sama turut berharap projek Rumah Impian Bangsa Johor yang dilaksanak­an oleh JCorp, dapat diperluask­an ke daerah lain demi memberikan peluang kepada setiap keluarga memiliki rumah sendiri.

Pada majlis itu, Sultan Ibrahim turut berkenan melancarka­n logo baharu JCorp sempena ulang tahun ke-50 penubuhan syarikat itu.

Berangkat sama ke majlis itu Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim. — Bernama

 ??  ?? SULTAN Ibrahim (tengah) berkenan melancarka­n logo baharu JCorp pada Majlis Sambutan Gala JCorp ke-50 di Pusat Konvensyen Antarabang­sa PERSADA Johor Bahru di Johor Bahru, kelmarin. Hadir sama Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian (kanan) dan Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp Datuk Kamaruzzam­an Abu Kasim. — Gambar Bernama
SULTAN Ibrahim (tengah) berkenan melancarka­n logo baharu JCorp pada Majlis Sambutan Gala JCorp ke-50 di Pusat Konvensyen Antarabang­sa PERSADA Johor Bahru di Johor Bahru, kelmarin. Hadir sama Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian (kanan) dan Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp Datuk Kamaruzzam­an Abu Kasim. — Gambar Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia