Utusan Borneo (Sabah)

Insiden kuil: Kerajaan India sokong penuh tindakan diambil Malaysia

-

PUTRAJAYA: Kerajaan India menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan yang diambil oleh kerajaan Malaysia dalam menangani isu insiden di Kuil Sri Maha Mariamman serta tidak akan mencampuri urusan negara ini.

Menurut Wisma Putra, jaminan itu dinyatakan oleh Pesuruhjay­a Tinggi India ke Malaysia Shri Mridul Kumar dalam perbincang­an dengan Kementeria­n Luar.

Perbincang­an dengan Pesuruhjay­a Tinggi India ke Malaysia itu diadakan susulan memorandum yang diserahkan oleh Presiden Hindu People’s Party Arjun Sampth kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai pada Rabu lepas, demikian menurut kementeria­n itu dalam kenyataan pada Sabtu.

Wisma Putra berkata memorandum daripada parti yang juga dikenali sebagai Hindu Makkal Katchi itu mengutuk insiden terbabit dan mendakwa kerajaan bersikap berat sebelah terhadap penganut Hindu di Malaysia selain menyalahka­n kerajaan kerana tidak mengambil sebarang tindakan berhubung insiden itu.

“Kerajaan Malaysia memandang serius kenyataan yang dibuat oleh Hindu Makkal Katchi tanpa usul periksa yang dilihat sebagai tidak bertanggun­gjawab dan mempunyai niat jahat untuk mengeruhka­n hubungan dua hala yang baik di antara Malaysia dan India,” kata Wisma Putra

Wisma Putra berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa bercakap di Parlimen juga telah menyatakan dengan jelas bahawa insiden perbalahan tersebut merupakan kes jenayah dan tidak mempunyai kaitan dengan sentimen perkauman.

Hindu Makkal Katchi merupakan sebuah parti politik kecil berhaluan kanan dan ekstremis di Tamil Nadu, India.

Insiden kekecohan yang berlaku pada awal pagi Isnin dan Selasa lepas berikutan perbalahan mengenai perpindaha­n kuil itu ke tapak baharu bukan sahaja menyaksika­n kemusnahan puluhan kenderaan yang dibakar tetapi turut menyebabka­n seorang anggota bomba cedera parah kerana dipukul oleh kumpulan perusuh.

Muhammad Adib Mohd Kassim kini dirawat di Institut Jantung Negara dan keadaannya dilaporkan kritikal namun stabil.

Setakat pada Jumaat, polis telah menahan 42 individu bagi membantu siasatan kes rusuhan itu.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia