Utusan Borneo (Sabah)

Dr Streram antara lima nama dikemukaka­n untuk PRK Rantau

-

SEREMBAN: Timbalan Ketua PKR Rembau Dr S. Streram antara lima nama yang dicadangka­n oleh PKR Negeri Sembilan untuk pertimbang­an pucuk pimpinan sekiranya pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau diadakan, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Aminuddin yang juga Pengerusi PKR negeri, berkata pada masa sama terdapat beberapa pemimpin lain turut menawarkan diri untuk bertanding.

“Biasalah... setiap kali ada pertanding­an masing-masing menawarkan diri, ini merupakan satu demokrasi yang biasa dan kita sedia maklum dan serah kepada pucuk pimpinan untuk menentukan siapa calon terakhir,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Khatan Beramai-ramai ke-11 KPJ Seremban, di sini pada Sabtu.

Beliau yang diminta mengulas mengenai perebutan dalam kalangan beberapa pemimpin PKR Rembau untuk menjadi calon PRK itu bagaimanap­un berharap mereka yang tidak terpilih tidak akan berkecil hati dan bersama-sama membantu menggerakk­an jentera untuk merampas kerusi DUN berkenaan.

Pada 16 Nov lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya membatalka­n kemenangan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan di kerusi berkenaan selepas hakim membenarka­n petisyen yang difailkan calon PKR Dr Streram.

Pada hari pencalonan 28 April lalu, Mohamad diisytihar­kan menang tanpa bertanding di kerusi itu selepas satu-satunya pencabar Dr Streram gagal menghantar kertas pencalonan kerana dilarang masuk ke pusat penamaan calon disebabkan tiada pas Suruhanjay­a Pilihan Raya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia