Utusan Borneo (Sabah)

PLUMS tingkat bilangan graduan sarjana

-

SEJAK Konvokesye­n pada tahun 1994, UMS sudah melahirkan seramai 2,268 graduan pascasiswa­zah.

Daripada jumlah itu, 386 adalah graduan Program Pascasiswa­zah (secara Kerja Kursus) dan 37 graduan pascasiswa­zah yang dikendalik­an oleh Pusat Luar UMS (PLUMS). Dalam kemeriahan Konvokesye­n UMS kali ke 20 baru-baru ini beberapa graduan Sarjana Kerja Kursus ditemurama­h mengenai rahsia kejayaan mereka.

Sarjana Kerja Kursus mewajibkan pelajar menghadiri kuliah hampir setiap malam pada harihari biasa dan juga menghasilk­an disertasi pada semester akhir mereka.

Kebanyakan pelajar yang mengikuti pengajian peringkat Sarjana Kerja Kursus itu adalah dalam kalangan mereka yang sedang bekerja di pelbagai jabatan kerajaan dan swasta serta ada juga yang masih menunggu pekerjaan tetap dengan melakukan pelbagai kerja sambilan dan berniaga. Sudah tentu kalangan pelajar sarjana mempunyai masa yang terhad untuk menelaah dan menyelesai­kan tugasan mereka.

Bagaimanap­un, dengan menggunaka­n pengalaman kerja yang mereka perolehi mereka lebih mudah memahami konteks isu dan permasalah­an berkaitan topik-topik yang dipelajari dalam kelas-kelas yang dihadiri.

Di samping itu, wujud semangat membara untuk menuntut ilmu yang sekali gus akan meningkatk­an profesiona­lisme pekerjaan mereka kelak. Semangat ini mendorong mereka untuk menangani segala cabaran yang dihadapi dengan cekal dan tabah sehingga berjaya.

Dalam kelompok pelajar ini, terdapat juga para pelajar kurang upaya, pelajar usia emas, pesara kerajaan dan ibu yang berhadapan dengan tugas di tempat kerja dan di rumah.

Pastinya pengalaman melalui pengajian peringkat Sarjana Kerja Kursus itu tidak semudah yang dilalui oleh mereka yang lain. Dalam Konvokesye­n UMS yang ke-24, ada dalam kalangan mereka berjaya menyempurn­akan pengajian masing-masing.

Pada 24 November yang lalu, dengan bangganya mereka melangkah gagah di atas pentas konvokesye­n menerima skrol ijazah disampaika­n

Yang Dioertua Negeri Sabah merangkap Canselor UMS Tun Dr Hj Juhar Mahiruddin.

Maluwis Maratis, 29, adalah anak keempat daripada lima adik beradik. Beliau adalah salah seorang daripada pelajar kurang upaya yang berjaya menamatkan pengajian sarjananya setelah berusaha keras mengikuti pengajian dengan sifat yang serba kekurangan.

Beliau cuma boleh menggunaka­n sebelah tangan untuk membuat tugasan. Justeru, masa yang lama diperlukan untuk menaip dan mencari sumber rujukan. Ketika pelajar normal hanya mengambil masa selama dua jam untuk menyiapkan sesuatu kerja, beliau pula masih terkial-kial untuk memulakan penulisan dan seterusnya menyiapkan kerja dalam tempoh lebih lima jam. Cabaran paling getir adalah ketika menyiapkan disertasi di akhir semester pengajian.

Setiap kali berhadapan rintangan dalam pengajian, Maluwis akan teringat kepada tekadnya untuk membantu perniagaan bapanya jika berjaya mendapat sarjana.

Dalam keterbatas­an sifat, beliau berasa ada hikmah yang dianugerah­kan kepadanya. Beliau mempunyai lebih banyak masa untuk membaca dan memahami setiap topik yang diikuti dalam kuliah.

“Kita cuma perlu mencuba dan buat yang terbaik,” itu pesanan beliau kepada mereka yang masih teragak-agak untuk melanjutka­n pengajian di peringkat sarjana.

Haji Mahil Kamarudin merupakan graduan Program Sarjana Psikologi

dan Kaunsellin­g di majlis Konvokesye­n UMS ke-24. Beliau yang berumur 54 tahun berasal dari Lahad Datu. Berkahwin dengan Nor Hafizah Hj Md Isa, graduan Sarjana MBA yang sama-sama berkonvo dengannya.

Secara berseloroh, Mahil menyedari bahawa usianya yang menghampir­i usia emas itu hampir menghalang­nya untuk mengikuti pengajian sarjana. Namun begitu, beliau cekal berpegang kepada falsafah hidup untuk menuntut ilmu kerana Allah SWT.

Selama mengikuti pengajian beliau sering berhadapan cabaran kesihatan kerana mengidap penyakit darah tinggi di mana beliau pernah diserang minor stroke pada tahun 2010.

Antara kenangan yang tidak dapat dilupakan ialah apabila beliau menguap lebih 50 kali sewaktu mengikuti kuliah yang pertama. Beliau bercadang untuk menjadi kaunselor profesiona­l bagi membolehka­nnya berkongsi ilmu yang diperolehi­nya sewaktu di UMS dan pengalaman berkaitan di masa lalu demi untuk manfaat masyarakat jua.

Beliau juga berpesan kepada para pelajar yang masih mengikuti pengajian agar sentiasa fokus kepada pelajaran dan sentiasa memohon keberkatan pengajian dari ibu dan ayah serta memohon taufiq dan hidayah dari Allah SWT.

Maimunah Tan Wah Ming, 43, sudah berkahwin dan berkeluarg­a. Beliau merupakan graduan Sarjana MBA dan dianugerah­kan sebagai pelajar Sarjana MBA terbaik bagi tahun 2018.

Selain sibuk menumpukan perhatian kepada kerja, beliau juga mengurus hal ehwal rumahtangg­anya. Ketika beliau mula mendaftar sebagai pelajar MBA, beliau tidak menyedari bahawa kelas MBA diadakan hampir setiap malam dan bukannya di waktu hujung minggu.

Beliau juga pernah mengalami sakit belakang yang teruk sehingga menyukarka­n beliau untuk duduk agak lama. Ia sekali gus, membatasi konsentras­i untuk belajar. Hal itu menyebabka­n beliau berasa agak tidak yakin untuk melalui pengajian MBA.

Bagaimanap­un, setelah menghadiri beberapa kelas, beliau mula berasa seronok kerana terdapat beberapa perkara yang dipelajari sewaktu dalam kelas itu sama seperti cabaran yang dialami di tempat kerja.

Sesi tugasan berkumpula­n dan pembentang­an tugasan serta penyelidik­an juga menambah keterujaan untuk terus bertekad cemerlang kerana beliau dapat berkongsi ilmu dengan rakan-rakan sekelas yang mempunyai pengalaman kerja berbeza.

Sejak itu, beliau mula mengurus masa pembelajar­an dengan lebih efektif dan sentiasa berdisipli­n dalam menghadiri kelaskelas berkenaan. Berkat pengurusan masa yang cekap itu, beliau berjaya mendapat markah paling tinggi di setiap kursus yang diambil sehingga tamat pengajian.

Maimunah percaya bahawa dengan sikap yang betul, berfikiran terbuka dan bersedia menerima idea orang lain, dedikasi dan komitmen serta memiliki ahli kumpulan yang bertanggun­gjawab dan proaktif, akan membantu seseorang pelajar itu mencapai keputusan yang cemerlang dalam pengajian mereka.

Seorang lagi graduan, Mohammad Hanif Kasim, 28, turut berkongsi rahsia kejayaan beliau menamatkan pengajian dalam bidang Sarjana Komputer Sains.

Beliau sudah berkahwin dan berasal dari Sandakan. Beliau bergantung kepada kenderaan rakan sekerja dan abang sendiri untuk setiap kali ke fakulti.

Menurut beliau, nasihat berterusan dan dorongan daripada ahli keluarga amat penting bagi memotivasi­kan diri untuk meneruskan pengajian. Di samping itu, seorang pelajar sarjana itu perlu meyakini bahawa ilmu itu adalah aset yang sangat berharga untuk diri, keluarga, masyarakat dan negara. Tanpa ilmu, seseorang itu akan menjadi jahil dalam banyak perkara.

Pesanan yang sama turut dikongsika­n oleh seorang lagi graduan Sarjana Pengurusan Pendidikan iaitu Rabiatul Adawiah Mustafar, 35.

Pada ketika graduan lain hampir berasa putus asa dalam pengajian mereka, Rabiatul pula adalah sebaliknya. Beliau tidak pernah putus asa kerana sentiasa berasa seronok ketika mengikuti kuliah.

Rahsianya ialah beliau sentiasa memanjatka­n doa agar sentiasa berasa seronok ketika berada dalam kuliah. Sekali gus, ia membolehka­n beliau memberi fokus yang baik ketika pensyarah mengajar. Beliau juga menanamkan dalam dirinya rasa hormat yang tinggi kepada pensyarah dan juga rakan seperjuang­an.

Pengarah PLUMS Prof Madya Dr Jude @Stephen Sondoh memaklumka­n pengajian Sarjana Kerja Kursus itu turut ditawarkan di UMS cawangan Tawau dan Kampus Antarabang­sa Labuan.

Beliau berkata graduan Sarjana UMS sentiasa mendapat perhatian majikan disebabkan modul kursus yang ditawarkan terpelihar­a kualiti dan standardny­a.

“Selain itu, kepakaran pensyarah yang mengendali­kan kuliah juga adalah perkara yang dititikber­atkan. Ia adalah bagi memastikan lulusan Sarjana UMS, khasnya Sarjana Kerja Kursus, sentiasa mendapat penghormat­an terbaik di tempat kerja atau menjadi idaman majikan,” katanya.

Menurut beliau, pada konvokesye­n ke-20 itu, terdapat seramai 35 graduan sulung bagi dua program iaitu Sarjana Sastera (Kerajaan dan Hubungan Antarabang­sa) dan Sarjana Sains Komputer (Pembanguna­n Perisian).

Katanya para pelajar adalah terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan negeri dan persekutua­n, sektor swasta serta mereka yang bekerja sendiri.

 ??  ??
 ??  ?? MAIMUNAH bersama suami dan anak-anak.
MAIMUNAH bersama suami dan anak-anak.
 ??  ?? MALUWIS bersama ahli keluarga dari Sarawak.
MALUWIS bersama ahli keluarga dari Sarawak.
 ??  ?? MAHIL dan isteri, Nor Hafizah konvo bersama.
MAHIL dan isteri, Nor Hafizah konvo bersama.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia