Utusan Borneo (Sabah)

Real Madrid ke peringkat 16 terakhir Copa del Rey

-

MADRID: Real Madrid mara ke peringkat 16 terakhir Copa del Rey kelmarin dengan kemenangan besar 6-1 ke atas kelab divisyen ketiga Melilla untuk mara dengan agregat 10-1 dalam pertanding­an yang mereka sudah menangi sebanyak 19 kali.

Kemenangan 4-0 pada bulan lepas dalam pusingan pertama di jajahan Sepanyol di pantai utara Afrika itu memulakan tugasan Santiago Solari sebagai jurulatih sementara dengan positif.

Sekarang pengurus sepenuh masa, Solari membuat perubahan untuk perlawanan ini menentang kelab kecil Melilla, dan pengurus dari Argentina itu merehatkan pemain seperti Thibaut Courtois, pemenang baharu anugerah Ballon d’Or, Luka Modric, Gareth Bale, Sergio Ramos dan Karim Benzema.

Real mara ke pusingan seterusnya dengan dua gol pada separuh masa pertama daripada Marco Asensio dan dua gol pada babak kedua daripada Isco, manakala Javi Sanchez dan Vinicius Junior melengkapk­an kemenangan besar itu.

Sudah menanti Real pada pusingan seterusnya adalah seteru mereka dalam La Liga, iaitu juara bertahan dan pemenang 30 kali Barcelona, Atletico Madrid, Villarreal, Sevilla, Valencia dan Espanyol.

Perlawanan itu merupakan perlawanan pembuka tirai untuk perlawanan akhir pusingan kedua Copa Libertador­es esok (Ahad) di antara dua musuh tetangga dari Argentina, Boca Juniors dan River Plate.

Perlawanan ‘superclasi­co’ itu dipindahka­n ke Madrid ekoran keputusan yang kontrovers­i oleh persekutua­n bola sepak Amerika Selatan, CONMEBOL, untuk mengadakan perlawanan itu di luar Argentina selepas penonton merusuh sebelum perlawanan timbal balik pada 24 November lepas. – AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia