Kerja tangkap, pindah anjing terbiar terus dipergiat di semua pekan
KUCHING:Kerja menangkap dan memindahkan anjing terbiar akan terus dipergiatkan di semua pekan di Sarawak bagi mengekang penularan virus rabies.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata virus rabies masih gagal dikekang sehingga kini.
Malah menurut Uggah, satu lagi kes kematian direkodkan Selasa lepas menjadikan 13 kes kematian setakat ini.
“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa terbaharu rabies dan saya ingin menekankan bahawa kita akan memperbaiki dan meningkatkan lagi publisiti mengenai virus rabies ini.
“Nampaknya mangsa terbaharu seperti tidak peka tindakan yang perlu diambil selepas digigit anjing dan menganggapnya sebagai perkara biasa.
“Malangnya, gigitan tersebut berakhir dengan kematian yang menyedihkan,” ujar Uggah yang bersimpati dengan kejadian tersebut.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini wabak rabies di negeri ini pada sidang media di Bilik Gerakan Negeri di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Khamis.
Terdahulu Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak.
Susulan kes terbaharu rabies pada Rabu, Uggah sekali lagi menasihati orang ramai supaya mencuci luka selepas digigit anjing atau kucing dan segera merujuk ke klinik atau hospital berdekatan.
“Sekarang kita ada klinik rabies di semua hospital dan segera dapatkan rawatan jika digigit anjing atau kucing,” katanya.
Uggah turut mengingatkan doktor swasta supaya menasihati mangsa gigitan anjing atau kucing yang mendapatkan rawatan daripada mereka untuk merujuk ke hospital kerajaan.
Beliau turut menasihati pemilik anjing supaya tidak melepaskan anjing peliharaan mereka kerana sasaran terus dibuat untuk memindahkan anjing terbiar.