Utusan Borneo (Sabah)

Mahir jahitan ‘smocking’, hasil tangan anak Sarawak jadi pilihan pelanggan antarabang­sa

-

BINTULU: Mungkin ramai tidak mengetahui mengenai ‘smocking’ kerana cabang seni jahitan itu berasal dari negara Eropah khususnya United Kingdom, terkenal di Amerika Syarikat dan Australia, namun begitu kemahiran itu dikuasai seorang anak tempatan yang tinggal di bandar minyak dan gas ini.

Kemahiran bernilai tinggi pemilik Exclusive Smocking, Erpha Ahdayani Othman, 41, menyaksika­n beliau sentiasa menerima tempahan gaun smocking kanak-kanak dari negara luar seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Ireland, Australia selain tempahan dari dalam negara sejak tahun 2008.

Berkongsi pengalaman kepada Bernama, Erpha berkata kemahiran menjahit smocking dress yang dimilikiny­a adalah hasil belajar sendiri hanya menerusi pembacaan buku dan majalah dan rujukan di internet.

“Smocking adalah sejenis cabang seni jahitan sulaman yang dilakukan dengan tangan, sangat jarang dilakukan dengan mesin dan dilakukan melalui beberapa proses tertentu sebelum menjadi sepasang pakaian. Untuk menghasilk­an smocking dress proses bermula dengan membuat kedutan pada kain melalui proses mengedut dan boleh ditambah dengan perincian lain seperti sulaman bunga.

“Ada beberapa corak asas smocking seperti ‘cable stitch; ‘trellis’, ‘wave stitch’ dan sebagainya yang boleh kita aplikasika­n pada pakaian bayi dan kanak-kanak. Selepas proses smocking kita boleh tambah perincian lain seperti sulaman bunga ros untuk tambah kecantikan kepada pakaian bayi dan kanakkanak,” kata ibu kepada dua cahaya mata ini.

Usahawan bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Perusahaan Pekebun Kecil Getah (Risda) yang berasal dari Kampung Dagang, Bekenu ini berkata beliau membuat proses kedutan menggunaka­n mesin ‘pleater’ yang diimport khas.

Katanya, beliau mampu menyiapkan sepasang smocking dress dalam tempoh seminggu bermula proses membuat kedutan, smocking, sulam dan menjahit dress bergantung kepada corak yang diminta pelanggan.

“Smocking dress yang saya hasilkan khas untuk bayi hingga enam tahun namun begitu ada juga smocking dress untuk kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 10 tahun. Setiap smocking dress yang saya hasilkan berharga antara RM250-RM500 bergantung kepada corak smocking dan material.

“Pelanggan boleh membuat tempahan mengikut tema seperti sambutan hari Krismas, hari raya ataupun hari lahir yang diinginkan serta bajet mereka. Dalam tempoh sebulan saya mampu menghasilk­an empat atau lima pasang smocking dress,” katanya sambil menambah turut dibantu suami Jeffery Abang, 49, dan anak lelaki Alif Harriz, 14, untuk menyiapkan setiap tempahan.

Erpha berkata antara material yang digunakan untuk menghasilk­an smocking dress ialah ‘spechler vogel imperial batiste’, ‘spechler vogel imperial broadcloth’, ‘swiss dotted voile’ dan kain2 kapas kualiti import dari pereka2 fabrik terkenal dari Amerika Syarikat.

Menjelang sambutan Krismas pada 25 Dis ini, Erpha berkata beliau sudah siap mengepos 10 tempahan oleh pelanggan dari luar dan dalam negara.

Kreativiti Erpha Ahdayani tidak terhenti setakat menjahit smocking dress sahaja, beliau turut menghasilk­an aksesori rambut bayi dan kanak-kanak yang boleh dipadankan dengan smocking dress itu.

Beliau berkata, aksesori itu dihasil menggunaka­n fabrik kapas yang ditempah khas dari luar negara seperti ‘Liberty of London’.

“Biasanya setiap tempahan pelanggan mereka akan turut membeli headband bayi yang dapat disesuaika­n sekali dengan smocking dress. Aksesori ini dijual pada harga antara RM16 hingga RM18,” katanya sambil menambah akan turut sama menyertai Miri Artisan Market di Coco Cabana, Miri Sabtu ini (8 Dis) untuk memperkena­lkan smocking dress kepada orang ramai. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia