Neo-Nazi bersalah bunuh penunjuk perasaan Charlottesville
WASHINGTON: Seorang neo-Nazi Amerika kelmarin didapati bersalah membunuh seorang wanita sewaktu beliau melanggar penunjuk perasaan dengan keretanya di satu perhimpunan ketuanan orang kulit putih pada 2017 yang menjadikan Charlottesville sebagai contoh bagi keganasan kaum di bawah Presiden Donald Trump.
Selain pembunuhan darjah pertama, yang boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup, James Alex Fields Jr, 21, didapati bersalah atas lima tuduhan melakukan kecederaan serius dengan niat jahat, tiga tuduhan melakukan kecederaan dengan niat jahat, dan satu tuduhan langgar lari.
Juri yang terdiri daripada tujuh wanita dan lima lelaki mencapai keputusan mereka pada hujung hari pertama pertimbangan bagi perbicaraan yang berlangsung hampir dua minggu.
Keganasan pada 12 Ogos 2017, yang meragut nyawa Heather Heyer, seorang pembantu peguam berusia 32 tahun, dan mencederakan puluhan lagi, mengubah bandar universiti dengan ciri kekampungan di Virginia itu menjadi simbol bagi keberanian golongan pelampau haluan kanan yang semakin meningkat di bawah Trump.
Presiden itu mengundang kritikan meluas ekoran kejadian itu apabila beliau bercakap mengenai “kesalahan kedua-dua pihak”, dipercayai untuk membuat persamaan moral di antara golongan ketuanan orang kulit putih yang datang untuk membantah pemindahan sebuah patung Konfederat, dengan golongan yang menentang mereka.
Beberapa saudara-mara mangsa, yang duduk di belakang pihak pendakwaan di sebelah kanan Mahkamah Sirkit Charlottesville sepanjang perbicaraan, menangis dengan senyap ketika keputusan diumumkan.
“Saya rasa paling bagus pernah saya rasakan dalam tempoh hampir setahun setengah,” kata Wednesday ‘Al’ Bowie, salah seorang mangsa yang selamat dalam serangan berkenaan selepas tulang pinggulnya retak di enam bahagian, kepada AFP.
Hukuman akan diumumkan bermula Isnin, apabila juri diberi pilihan untuk mengesyorkan hukuman penjara selama 20 tahun hingga seumur hidup bagi kesalahan membunuh.
Sementara hakikat bahawa Fields merempuh penunjuk perasaan dengan kereta Dodge Callenger tidak dipertikaikan, peguamnya dan pendakwa raya telah mengemukakan naratif yang berbeza mengenai keadaan minda dan niatnya pada hari itu.
Pihak pembelaan berkata dalam kenyataan pembukaan mereka bahawa Fields “takut nyawanya terancam” – dengan harapan, menurut pemerhati, agar juri mendapati beliau bersalah bagi tuduhan lebih ringan seperti pembunuhan darjah kedua, jika tidak dibebaskan sahaja.
Fields memandu sepanjang malam dari bandar asalnya Maumee, Ohio, untuk menyokong perhimpunan ‘Unite the Right’ bagi membantah pemindahan patung Robert E. Lee, jeneral tertinggi Konfederasi yang properhambaan sewaktu Perang Saudara Amerika pada 1861-1865.
Pihak pendakwaan memaparkan video yang menunjukkan Field menghentikan keretanya dan berundur ke atas sebuah bukit sebelum beliau melakukan serangan ke atas penunjuk perasaan yang bernyanyi dan bergembira selepas pegawai bandar raya mengarahkan golongan haluan kanan untuk meninggalkan tempat itu. — AFP