Pengurusan baik, disiplin peminjam faktor AIM Wilayah Utara bebas tunggakan
BINTULU: Pengurusan yang baik dalam enam blok Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Cawangan Bintulu termasuk disiplin peminjam yang membayar secara konsisten dan tepat pada masanya antara faktor AIM di Wilayah Utara Sarawak dan cawangan-cawangannya diiktiraf sebagai ‘Zero Par’ iaitu bebas tunggakan pinjaman.
Pengurus AIM Wilayah Utara Sarawak Suharno Ali berkata, ini bermaksud cawangan-cawangan di utara Sarawak dan sahabat-sahabat yang ada merupakan ahli yang cukup baik dan cemerlang membayar balik pinjaman kepada AIM.
“Ini adalah satu rekod yang amat membanggakan, namun untuk berada di puncak kecemerlangan itu bukan mudah dan cabarannya cukup tinggi.
“Dan, hasil usaha bersama semua pihak khususnya Kelab Wanita Ikhtiar Bintulu (KWIB) termasuk seluruh cawangan di utara Sarawak, maka mereka mampu mencapai prestasi yang cukup baik tersebut,” ujarnya pada Malam Penganugerahan Kecemerlangan Sahabat anjuran KWIB yang dirasmikan oleh Pegawai Khas Azman Abdul Rahman mewakili Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing di sini, malam Khamis.
Suharno berkata, faktor itu dipengaruhi oleh pengurusan yang baik di setiap enam blok AIM Cawangan Bintulu termasuk disiplin peminjam yang membayar secara konsisten.
“Kedua–dua elemen ini adalah penyokong utama dalam mencapai prestasi itu. Tapisan awal daripada kedua– dua pihak iaitu KWIB dan Lembaga Perwakilan Sahabat memastikan modal diberikan kepada yang layak adalah mereka yang mempunyai projek terbaik,” jelasnya.
Beliau berkata, ramai di kalangan wanita dibantu melalui AIM untuk meningkatkan taraf hidup mereka dengan menjalankan perniagaan.
Tambahnya, Sarawak ada tiga wilayah terdiri daripada 17 cawangan dengan wilayah utara Sarawak merangkumi Bintulu, Niah, Miri, Limbang dan Lawas dengan keseluruhan cawangan sahabat yang aktif ialah 8,200 orang.
Sementara itu, Pengerusi KWIB Rabiah Kamri berkata, bantuan pinjaman daripada AIM memudahkan ahli-ahli menjalankan perniagaan kecilkecilan untuk meningkat taraf hidup keluarga antaranya menerusi penjualan produk belacan, kerepek, roti dan sebagainya.