Usaha atasi cabaran ekonomi dalam tempoh tiga tahun: Lim
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyedari cabaran-cabaran ekonomi dihadapi negara pada masa ini dan akan mengambil langkah untuk mengatasinya dalam masa tiga tahun bagi menempatkan semula Malaysia di landasan yang betul.
Sehubungan itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan menyambut baik penarafan terbaharu serta keyakinan agensi penarafan antarabangsa, Moody’s Investor Service (Moody’s) kelmarin terhadap potensi Malaysia mencatat pertumbuhan yang teguh walaupun terpaksa berdepan cabaran-cabaran semasa.
Dalam satu kenyataan semalam, beliau turut menyambut baik langkah Moody’s mengekalkan penarafan bagi hutang terbitan mata wang tempatan dan asing serta hutang tidak bercagar senior Malaysia pada tahap A3 dan prospek juga kekal stabil.
“Pengekalan penarafan ini dicapai walaupun mereka (Moody’s) telah mengambil kira kekuatan fiskal Malaysia telah menurun dengan defisit fiskal sebanyak 3.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2018, 3.4 peratus pada 2019, 3.0 peratus pada 2020 dan kurang 2.8 peratus pada 2021, akibat skandal-skandal korupsi berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang terdahulu.
“Kerajaan menyedari cabaran-cabaran ekonomi ini dan akan mengambil langkah untuk mengatasinya dalam masa tiga tahun untuk mengembalikan Malaysia kepada landasan yang betul.
“Keyakinan Moody’s terhadap potensi pertumbuhan Malaysia yang teguh, pasaranpasaran modal domestik yang dalam, kerangka institusi yang kukuh termasuk keberkesanan dasar monetari yang mantap – kesemua ini memberi kesan kredit positif yang padu,” katanya.
Dalam satu kenyataan kelmarin, Moody’s yakin prospek ekonomi Malaysia didorong oleh infrastruktur yang dibangunkan dengan baik, kekayaan sumber semula jadi serta sektor pembuatan dan perkhidmatan yang berdaya tahan secara global dalam jangka panjang.
Mengulas perkara itu, Lim berkata, ini dibuktikan dengan peningkatan mendadak eksport pada Oktober 2018 yang mencecah paras tertinggi dalam tempoh sebulan iaitu RM96.4 bilion manakala lebihan dagangan sebanyak RM16.3 bilion.
“Perkembangan positif ini berlaku selepas pengumuman Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bahawa pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan bagi sektor pembuatan telah melonjak sebanyak RM35 bilion atau 250 peratus kepada RM49 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2018 berbanding RM14.0 bilion bagi tempoh sama tahun lepas,” katanya.
Malah, katanya, apa yang lebih mengagumkan adalah jumlah keseluruhan FDI yang diluluskan bagi sektor pembuatan bagi tempoh Mei sehingga September 2018 adalahRM35bilionberbanding RM7.3 bilion bagi tempoh sama pada tahun lepas.
Beliau menyifatkan lonjakan sebanyak RM27.7 bilion atau 379 peratus itu sebagai bukti peningkatankeyakinanpelabur asing terhadap kepimpinan baharu diterajui Perdaha Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas peralihan kuasa secara aman pada 9 Mei, 2018.- Bernama