MITI yakin eksport Malaysia lepasi sasaran pertumbuhan 5.0 peratus
SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yakin Malaysia akan dapat melepasi sasaran pertumbuhan eksport sebanyak lima peratus tahun ini.
Timbalan Menteri, Dr Ong Kian Meng berkata, MITI masih memantau keadaan bagi peristiwa yang tidak dijangka yang mungkin menjejaskan sasaran, terutama perang perdagangan AS-China.
“Buat masa ini kami yakin dapat melepasi sasaran. Eksport (terutama produk) elektrik dan elektronik berkembang sangat pesat, disokong oleh syarikat seperti Panasonic yang menolaknya ke tahap yang lebih tinggi.
“Ini berlaku walaupun eksport yang lebih perlahan dalam sektor komoditi,” katanya kepada pemberita di luar sambutan ulang tahun ke-50 Panasonic Manufacturing di Malaysia dan sambutan 100 tahun Panasonic Group, di sini kelmarin.
Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari turut hadir pada majlis berkenaan.
Ong berkata, walaupun kelemahan ringgit membantu mengukuhkan eksport Malaysia, kerajaan tidak mahu bergantung kepada kelemahan mata wang tempatan itu kerana ia akan meningkatkan kos mengimport bahan perantaraan.
Sementara itu, Amiruddin berkata, Selangor yakin dapat mencapai sasaran pelaburan langsung asing (FDI) RM7 bilion tahun ini berdasarkan persekitaran dan perkembangan pelaburan Malaysia yang sihat.
Menurutnya, sentimen pelaburan agak lembap semasa tempoh kempen pilihan raya umum pada Mei disebabkan ketidakpastian politik tetapi tahap keyakinan pelabur semakin bertambah dan kadar pelaburan meningkat.
“Kami memantau rapat aliran masuk FDI ke negeri ini dan menyedari yang ia terjejas sedikit oleh perang perdagangan AS-China.