Nasib penjawat awam kehilangan kerja akan dilihat semula: Dr Mahathir
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melihat semula kedudukan sejumlah kakitangan awam yang kehilangan pekerjaan ekoran penutupan agensi-agensi kerajaan dalam usaha memberikan keadilan kepada mereka, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata kerajaan akan melihat sama ada mereka terlibat atau tidak dalam melakukan kerjakerja bagi parti politik.
“Memang ramai jadi mangsa atas tindakan kita, kita akan ambil perhatian sebab mereka tak terlibat dalam politik tapi hanya menjadi kakitangan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Petaling Jaya dekat sini, pada Sabtu.
Dr Mahathir berkata pihaknya akan mengumpul data-data mengenai mereka yang terlibat bagi tindakan lanjut.
Beliau turut mengakui kerajaan dikecam hebat ekoran langkah menutup agensi kerajaan berkenaan yang menjejaskan mata pencarian kakitangan terlibat.
Bagaimanapun, kata Dr Mahathir, tindakan menutup agensi itu terpaksa dilakukan kerana ia telah disalah guna kerajaan terdahulu bagi tujuan politik, selain kerajaan ketika ini tidak mempunyai dana untuk mengekalkan agensi tersebut.
“(Kerajaan) tidak boleh teruskan peranan agensiagensi ini kerana wang datang dari punca tidak diketahui telah digunakan untuk memberi saraan dan hadiah kepada mereka.
“Kita tidak ada wang dan tidak curi wang, jadi hanya bergantung pada pendapatan kerajaan, jadi tak cukup untuk membiayai apa yang dibuat kerajaan lepas,” katanya. -Bernama