Utusan Borneo (Sabah)

Kerajaan teroka sumber baharu perkasa instrumen wakaf

-

KUALA LUMPUR: Kerajaan berusaha meneroka sumber dan cara baharu bagi memperkasa instrumen wakaf di negara ini agar manfaatnya dapat dinikmati sepenuhnya, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Beliau berkata masih banyak boleh dilakukan kementeria­n untuk memajukan institusi wakaf di negara ini, yang pada pandangan beliau, kurang diberi tumpuan kerajaan terdahulu.

“Tanpa meletakkan kesalahan kepada sesiapa, saya rasa pihak kementeria­n sebelum ini tidak betul-betul beri tumpuan, dan tanpa meletak kesalahan kepada sesiapa saya rasa lebih banyak lagi yang boleh kita lakukan.

“Ini kerana Jabatan Waqaf Malaysia dan Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) boleh melihat bagaimana nak melibatkan diri dan cari jalan untuk mengembang­kan instrumen-instrumen wakaf dan yayasan wakaf pula boleh cari dana tersebut,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) mengenai usaha kerajaan untuk meneroka sumber-sumber baharu wakaf.

Menurut Fuziah, hal ehwal agama Islam terletak sepenuhnya di bawah kuasa Sultan di setiap negeri dan mewakilkan kuasa kepada majlis agama Islam negeri-negeri yang bertanggun­gjawab mengendali­kan urusan tersebut termasuk pengurusan wakaf.

“Kementeria­n melalui agensi terlibat sentiasa berunding dengan pihak berkuasa agama negeri-negeri demi memaksimum­kan penggunaan sumber wakaf berkesan dan memberi manfaat signifikan kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) mengenai perancanga­n kerajaan dalam meningkatk­an kesedaran rakyat khususnya umat Islam tentang kepentinga­n harta wakaf, Fuziah berkata kementeria­n sentiasa mengadakan rundingan dengan kerajaan negeri.

“Kerajaan sentiasa mencari jalan berunding dengan kerajaan negeri di bawah majlis agama Islam negeri dan jabatan agama Islam negeri bukan sahaja dalam aspek wakaf tetapi banyak lagi aspek melibatkan enakmen-enakmen. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia