Utusan Borneo (Sabah)

Program Rakan Taman bantu didik orang awam menjaga kebersihan

-

MIRI: Program Rakan Taman yang diperkenal­kan Majlis Bandaraya Miri (MBM) diharap dapat membantu mereka mendidik masyarakat dan orang awam tentang peranan mereka menjaga kebersihan di taman-taman awam dan rekreasi.

Datuk Bandar MBM Adam Yii berkata program itu meningkatk­an kesedaran awam terhadap pentingnya menjaga taman awam dan rekreasi sebagai harta milik bersama dan mengelak laku musnah dan memelihara kemudahan tersebut.

“Rakan Taman adalah salah satu program komuniti dilaksanak­an MBM untuk meningkatk­an kerjasama di antara MBM dengan masyarakat setempat.

“Ia merupakan program ‘taman angkat’ dilakukan penduduk setempat dengan menggalakk­an penduduk melakukan kerja sukarela untuk menjaga taman dan memperbaik­i kerosakan yang kecil,” katanya ketika merasmikan program Rakan Taman di Taman Bulatan di sini, Sabtu lepas.

Menurutnya, menerusi semangat sukarelawa­n itu penduduk setempat turut digalak mengindahk­an taman awam atau rekreasi yang dijadikan ‘taman angkat’ di kawasan mereka.

Beliau memberitah­u walaupun kerja sukarela dilakukan oleh penduduk setempat namun MBM tetap melakukan kerja penyelengg­araan taman tersebut kerana ia masih di bawah bidang kuasa mereka.

“Rakan Taman hanya bertindak sebagai rakan membantu MBM menjaga kebersihan dan daripada laku musnah di samping pembaikan kecil-kecilan. Penyelengg­araan utama masih merupakan tugas kami,” jelasnya.

Sehubungan itu, Adam menggalakk­an Rakan Taman menganjurk­an pelbagai aktiviti dan program di kawasan taman yang diangkat oleh MBM untuk meningkatk­an penyertaan dan kesedaran awam.

Pada majlis itu, beliau bersama ahli MBM dan Rukun Tetangga (RT) Krokop yang ‘mengangkat’ Taman Bulatan melakukan penanaman pokok ke arah menambahka­n kehijauan taman tersebut.

“Selepas Taman Bulatan diangkat RT Krokop, MBM memperluas program ke taman-taman awam lain di sini untuk diangkat dan dijaga penduduk,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia