Utusan Borneo (Sabah)

Polis Kelantan rampas 10kg syabu, pil kuda bernilai hampir RM700,000

-

KOTA BHARU: Polis Kelantan merampas sebanyak 10 kilogram (kg) dadah jenis syabu serta 6,000 biji pil kuda bernilai kira-kira RM688,850 dalam dua operasi berasingan di Jalan Hamzah di sini, dan serbuan di Kampung Merisa Wakaf King, Berangan, Tumpat, pada Selasa dan Rabu lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata rampasan itu hasil penahanan dua lelaki masing-masing berusia 21 dan 31 tahun dalam sekatan jalan raya di Jalan Hamzah di sini, pada pukul 11.50 malam (Selasa lepas).

“Hasil pemeriksaa­n ke atas kereta yang dinaiki keduadua suspek berkenaan yang dari arah Tumpat ke pusat bandar telah menemui 10kg dadah dipercayai syabu yang dijumpai di dalam sebuah beg pakaian berkunci di bahagian belakang kenderaan dinaiki mereka.

“Pada masa sama salah seorang suspek telah merayu supaya mereka tidak ditahan dan menawarkan sogokan sebanyak RM21,000 secara tunai kepada pegawai yang bertugas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, Isnin.

Susulan itu, Hasanuddin berkata susulan itu, pihaknya membuat siasatan awal terhadap kedua-dua suspek sebelum membawa salah seorang lelaki terbabit ke Kampung Merisa Wakaf King pada pukul 2 pagi (Rabu lepas).

Beliau berkata suspek telah membawa polis ke sebuah kereta yang diparkir di hadapan sebuah rumah sebelum anggota polis melakukan pemeriksaa­n di dalam kenderaan itu dan menemui satu plastik hitam di bahagian ruang bawah tempat duduk belakang berisi beberapa paket pil kuda dan syabu.

“Siasatan lanjut mendapati dadah berkenaan diperoleh daripada pengedar tempatan di sekitar Pasir Mas dan dipercayai akan diedarkan untuk pasaran sekitar Besut, Terengganu, Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok dan Pasir Puteh,” katanya.

Katanya kes akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori dan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 5 hingga 11 Disember untuk siasatan lanjut. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia