Utusan Borneo (Sabah)

KD Mahawangsa komited laksana peranan

- Oleh NOORASVILL­A MUHAMMA

SANDAKAN: Kapal Diraja (KD) Mahawangsa milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) komited melaksanak­an peranannya sebagai kapal pelbagai guna.

Pegawai Memerintah Kapten Ivan Mario Andrew berkata kapal yang berpangkal­an di Lumut, Perak itu kini dalam rangka penugasan ke kawasan Malaysia Timur untuk menghantar logistik dan barangan keperluan.

“Tugas utama kita adalah sebagai kapal pelbagai guna. Kita beri bantuan logistik kepada pangkalan dan kapal di laut selain turut memberi bantuan sekiranya berlaku peperangan.

“Buat masa ini, penugasan kita di sini (Malaysia Timur) hanya untuk tempoh sebulan dan kemudian kita akan balik semula ke Lumut bagi menambah bekalan serta mengambil lagi keperluan logistik yang diperlukan sebelum balik lagi ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Hari Terbuka Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) di Pangkalan TLDM Sandakan, di sini pada Rabu.

Sempena hari terbuka itu, KD Mahawangsa turut mengadakan kapal terbuka bagi memberi peluang kepada media dan orang ramai untuk melihat sendiri aset terbesar TLDM itu dengan lebih dekat.

Turut diadakan, pameran kerjaya TLDM, pameran Paskal dan aktiviti menaiki bot.

Selain memberi bantuan logistik, Ivan berkata KD Mahawangsa juga pernah terlibat dengan beberapa misi penting termasuk ketika pergolakan di Somalia, menghantar barangan keperluan ke Afghanista­n serta memberi bantuan ketika bencana tsunami di Acheh.

Untuk rekod, KD Mahawangsa yang merupakan buatan Korea telah ditauliahk­an pada 1983 dan kini mempunyai kekuatan seramai 204 krew.

Dengan ukuran 103 meter panjang dan 15 meter lebar, kapal terbesar milik TLDM itu mampu membawa sebanyak 160 ribu tan air dan 790 ribu liter minyak, sekali gus mampu memberi bantuan kepada kapal-kapal TLDM yang berada di laut.

Selain itu, kapal berkenaan juga boleh membawa sekumpulan 200 anggota tentera dan mampu memuatkan lapan kereta perisai serta sebuah helikopter.

Selain KD Mahawangsa, TLDM mempunyai sebuah lagi kapal yang berperanan sebagai kapal serba guna iaitu KD Sri Indera Sakti, yang mana kedua-dua kapal itu menjalanka­n tugas menghantar logistik secara bergilir-gilir.

 ??  ?? IVAN (dua kiri) bersama krew KD Mahawangsa sempena Hari Terbuka Mawilla 2.
IVAN (dua kiri) bersama krew KD Mahawangsa sempena Hari Terbuka Mawilla 2.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia