Utusan Borneo (Sabah)

AADK Kelantan sedia buka pintu kepada swasta bantu OKP

-

TANAH MERAH: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan sedia membuka pintu kepada pihak swasta untuk tampil bekerjasam­a dengan pihaknya bagi membantu Orang Kena Pengawasan (OKP) dalam bidang keusahawan­an.

Pengarahny­a Rahayu Ahmad berkata langkah itu amat dialu-alukan bagi memberi ruang kepada OKP di negeri ini mendapatka­n pekerjaan.

“Mungkin pihak terbabit boleh memberikan bantuan kepada OKP untuk terlibat dalam industri kecil dan sederhana, bengkel, pertanian dan sebagainya kerana ia secara tidak langsung boleh membantu bekas-bekas penagih ini untuk menyara kehidupan diri sendiri dan keluarga.

“Jangan pinggir atau kecam kerana OKP juga mempunyai kemampuan untuk membuktika­n mereka boleh berjaya seperti orang lain,” katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Penyerahan Peralatan Kerjaya antara AADK dan Jawatankua­sa Pemulihan Dadah (JKPD) Tanah Merah yang turut dihadiri Pengerusi JKPD Tanah Merah Mohd Zaki Muhammad Zain.

Pada program tersebut seramai tiga OKP menerima bantuan terbabit melibatkan bantuan peralatan membuat kuih putu halba, mesin tebu dan peralatan mengusahak­an madu kelulut.

Rahayu berkata program terbabit merupakan kali pertama dilaksanak­an di negeri ini melalui kerjasama JKPD jajahan.

Sementara itu, Mohd Zaki berkata bantuan tersebut walaupun nilainya kecil namun diharap mampu membantu OKP untuk mendapatka­n pekerjaan.

“Kita mahu mereka berjaya dan menjadi model kepada orang lain yang terlibat dengan dadah. Kita tidak boleh hanya setakat memberikan mereka bantuan berupa makanan sematamata malah mahu mereka lebih berjaya daripada sebelum ini,” katanya.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia