Utusan Borneo (Sabah)

Jangan hadir perjumpaan dengan bekas ketua bahagian isytihar keluar parti

- Oleh KENNEDDY CORLLEUS

KOTA KINABALU: Pengerusi Badan Perhubunga­n Umno Sabah Dato’ Sri Bung Moktar Radin meminta agar pemimpin dan ahli parti itu di seluruh bahagian di negeri ini supaya tidak terikut-ikut atau menghadiri sebarang perjumpaan yang diadakan oleh bekas ketua bahagian Umno yang telah pun mengisytih­arkan keluar parti.

Beliau berkata, ada kecenderun­gan bekas ketua bahagian Umno yang telah mengumumka­n keluar parti mengadakan perjumpaan dengan pemimpin dan ahli parti itu, walhal mereka tidak berhak memanggil ahli Umno yang masih setia dalam perjuangan kerana mereka bukan lagi ketua bahagian Umno.

“Mereka mengadakan perjumpaan semata-mata ingin mempengaru­hi ahli Umno untuk bersama dalam perjuangan mereka yang sepatutnya mereka perjelaska­n kepada pemimpin dan ahli sebelum mereka mengambil keputusan keluar parti,” katanya ketika sidang media di sini pada Isnin.

Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, pemimpin dan ahli Umno yang masih setia bersama parti seharusnya mengelak untuk menghadiri perjumpaan itu kerana mereka akan memperguna­kan kedudukan sebagai bekas ketua bahagian untuk menjayakan agenda peribadi mereka.

“Saya berharap pemimpin dan ahli Umno yang masih setia dalam perjuangan parti tidak terjebak dengan perjumpaan seperti ini yang memperalat­kan pemimpin dan ahli untuk menjayakan kepentinga­n peribadi,” katanya.

Menurut beliau dalam tempoh terdekat ini, Badan Perhubunga­n Umno Sabah akan mengadakan mesyuarat untuk menstruktu­r semula kedudukan parti itu di beberapa bahagian yang terlibat bagi menyusun semula pemangku ketua bahagian dan lain-lain jawatan yang telah dikosongka­n.

“Beri kami sedikit masa, insyallah bahagian-bahagian yang terlibat akan kita struktur semula bagi membolehka­n semua yang terlibat akan berfungsi seperti biasa bagi meneruskan agenda serta program yang dirancang oleh parti,” katanya.

Sambil melahirkan keyakinan Umno Sabah boleh bangkit semula untuk membawa perubahan kepada masyarakat Sabah, Bung berharap ahli Umno yang setia terus berpegang kepada perinsip perjuangan bagi mempastika­n Umno Sabah tidak akan terkubur.

“Sebagai ahli Umno yang berprinsip, kita perlu meneruskan kesetiaan kepada parti yang banyak berjasa bukan sahaja kepada ahli tapi kepada rakyat dan negara,” katanya. -

 ??  ?? BUNG
BUNG

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia