Utusan Borneo (Sabah)

IHP November meningkat 0.2% tahun ke tahun, namun lebih rendah berbanding 0.6 pada Oktober

-

KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia meningkat 0.2 peratus pada November kepada 121.0 berbanding 120.8 yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lepas, kata Jabatan Perangkaan.

Kenaikan indeks keseluruha­n itu disebabkan oleh peningkata­n harga bagi kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api yang lain (+2.0 peratus), pendidikan (+1.4 peratus), restoran dan hotel (+1.2 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (+1.1 peratus) dan minuman alkohol dan tembakau (+1.0 peratus).

Bagaimanap­un, indeks inflasi pada November rendah sedikit berbanding 0.6 peratus yang direkodkan pada Oktober.

“Pada asas bulanan, IHP meningkat 0.2 peratus berbanding Oktober, manakala bagi tempoh Januari-November, indeks mencatatka­n peningkata­n 1.0 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas,” kata Ketua Perangkawa­n Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, dalam satu kenyataan.

Dalam perkembang­an yang sama, beliau berkata jabatan itu melaporkan bahawa secara keseluruha­n, empat negeri melepasi kadar IHP nasional 0.2 peratus yang direkodkan pada November berbanding bulan yang sama tahun lepas.

Negeri terbabit ialah Wilayah Persekutua­n Kuala Lumpur (+1.2 peratus), Negeri Sembilan (+0.6 peratus), Pulau Pinang (+0.6 peratus) dan Johor (+0.3 peratus).

Selangor dan Wilayah Persekutan Putrajaya mencatatka­n kenaikan yang sama dengan paras nasional.

Sementara itu, kenaikan indeks direkodkan dalam kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol di kebanyakan negeri di Malaysia.

Empat negeri mencatatka­n kenaikan indeks kumpulan makanan dn minuman bukan alkohol melebihi paras nasional (+1.1 peratus) pada November berbanding bulan yang sama pada 2017.

Indeks makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 4.8 peratus di Wilayah Persekutua­n Kuala Lumpur, diikuti Negeri Sembilan (+1.5 peratus), Pulau Pinang (+1.3 peratus) dan Selangor serta Wilayah Persekutua­n Putrajaya (+1.2 peratus). — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia