Utusan Borneo (Sabah)

Kelayakan Sivarraajh bertanding PRK Cameron Highlands ditentukan sebelum penamaan calon

-

PUTRAJAYA: Keputusan sama ada Datuk C. Sivarraajh layak bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands akan diumumkan sebelum hari penamaan calon yang dijadualka­n pada 12 Jan 2019, kata Pengerusi Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun.

Beliau berkata SPR perlu merujuk kepada penasihat undang-undang terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan mengenai kelayakan bekas Anggota Parlimen Cameron Highlands itu.

“SPR sedang meneliti lebih lanjut laporan Hakim Pilihan Raya mengenai kelayakan tersebut dan kita sedang menunggu penasihat undang-undang.. kita akan umumkan secepat mungkin,” katanya selepas sidang media mengenai urusan PRK Parlimen Cameron Highlands, di sini pada Rabu.

Pada Selasa, Presiden MIC, Tan Sri S. A Vigneswara­n dilaporkan sebagai berkata Sivarraajh antara nama yang akan dipertimba­ngkan sebagai calon pada PRK itu, sekali gus menimbulka­n tanda tanya sama ada beliau layak atau tidak untuk bertanding.

Vigneswara­n berkata Sivarraajh layak bertanding pada PRK itu kerana mahkamah menyatakan tiada keterangan bahawa Naib Presiden MIC itu terlibat dalam rasuah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Pada PRU14, Sivarraajh yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 undi, menewaskan empat calon lain iaitu calon DAP M. Manogran yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS - 3,587 undi); Mohd Tahir Kassim (Berjasa - 81 undi) dan B Suresh Kumar (PSM - 680 undi).

Manogaran, 59, memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lalu dengan memohon pengisytih­aran bahawa keputusan PRU14 bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada 30 Novlepas, Mahkamah Pilihan Raya mengisytih­arkan kemenangan BN itu terbatal dan tidak sah selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaru­hi pengundi di kawasan itu.

Dewan Rakyat pada Selasa menerima surat pemakluman daripada pengerusi SPR mengenai kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Cameron Highlands mulai 15 Dis lalu.

Sehubungan itu, SPR pada Rabu menetapkan hari pengundian PRK Cameron Highlands pada 26 Jan 2019, penamaan calon pada 12 Jan dan mengundi awal pada 22 Jan.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia