Utusan Borneo (Sabah)

Naikkan harga telur: KPDNHEP Terengganu keluar notis kepada empat syarikat

-

KUALA BERANG: Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu mengeluark­an empat notis kepada empat syarikat pemborong telur di negeri ini hasil pemeriksaa­n yang dilakukan sejak 7 Dis lepas.

Ketua Pegawai Penguatkua­sa KPDNHEP Terengganu, Zulfahmy Mat Udi berkata Notis 21 di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 itu dikeluarka­n bagi mengetahui sebab kenaikan harga telur di empat syarikat pemborong berkenaan.

“KPDNHEP Terengganu telah melakukan pemeriksaa­n harga telur di 93 premis termasuk di pasar raya, pemborong dan kedai runcit sepanjang tempoh itu.

“Hasil pemeriksaa­n mendapati harga telur di Terengganu tidak mengalami kenaikan melampau dan secara puratanya, harga telur ketika ini ialah RM0.40 sebiji (gred E), RM0.41 (gred D), RM0.42 (gred C), RM0.44 (gred B) dan RM0.45 (gred A),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan operasi bersepadu bersama 10 jabatan dan agensi penguatkua­saan di pasar pagi Kuala Berang di sini pada Rabu.

Antara agensi terlibat ialah Suruhanjay­a Syarikat Malaysia, Majlis Daerah Hulu Terengganu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutua­n, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Metrology Corporatio­n Malaysia Sdn Bhd, Kementeria­n Kesihatan Malaysia, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan pihak media.

Beliau juga berpuas hati dengan tahap pematuhan peniaga terhadap undangunda­ng kepengguna­an dan penguatkua­saan dalam operasi kali ini.

“Memang ada sedikit kenaikan sayur dan ikan, namun kita maklum kenaikan itu adalah disebabkan faktor musim tengkujuh di mana nelayan tidak keluar ke laut, jadi peningkata­n itu adalah munasabah.

“Selain dari pematuhan tanda harga, alat penimbang yang digunakan peniaga juga diperiksa bagi memastikan ianya masih dalam tempoh penentusah­an dan memberi timbangan yang tepat dalam urusan jual beli,” katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia