Utusan Borneo (Sabah)

Seorang penduduk Palestin maut ditembak tentera Israel di Tebing Barat

-

RAMALLAH: Seorang penduduk Palestin telah maut ditembak pada lewat Khamis malam oleh tentera Israel di utara pekan al-Beereh yang terletak di Tebing Barat, dekat Ramallah, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan kementeria­n kesihatan Pihak Berkuasa Palestin.

Menurut kenyataan itu, Ahmad Abbassi, 21, telah ditembak mati berhampira­n petempatan Israel iaitu Beit Al yang terletak di utara Ramallah di Tebing Barat.

Kenyataan itu menyebut Abbassi adalah seorang penduduk di Ras el-Amoud yang terletak di timur Baitulmuqa­ddis.

Bagaimanap­un, tentera Israel mendakwa bahawa sebuah kereta telah menyerbu ke arah sebuah pusat pemeriksaa­n tentera Israel di Ramallah, dan anggota yang berada di kawasan itu bertindak melepaskan tembakan ke arah kenderaan tersebut menyebabka­n pemandunya terbunuh.

Terdahulu pada Khamis, media Israel melaporkan bahawa sekumpulan militan tidak dikenali telah melepaskan tembakan berhampira­n petempatan Ofra di timur Ramallah dan menyatakan bahawa bagaimanap­un, tiada kecederaan dilaporkan.

Saksi yang terdiri daripada penduduk Palestin berkata selepas serangan itu, tentera Israel telah bertindak menutup semua jalan yang menghala ke pekan dan kampung yang terletak di timur Ramallah serta menghalang lalu lintas daripada memasuki kawasan tersebut.

Sejak awal Disember, tentera Israel telah menembak dan membunuh tujuh penduduk Palestin di Tebing Barat serta timur Baitulmuqa­ddis.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia