Utusan Borneo (Sabah)

Malaysia tarik pelaburan berjumlah RM139.3b dalam tempoh 9 bulan pertama

-

KUALA LUMPUR: Malaysia menarik pelaburan berjumlah RM139.3 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmat­an dan industri utama dalam tempoh sembilan bulan pertama 2018, meningkat 18 peratus daripada RM118.1 bilion yang diluluskan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Lembaga Pembanguna­n Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam satu kenyataan kelmarin berkata jumlah pelaburan diluluskan dalam tempoh Januari-September 2018 adalah daripada 3,243 projek, yang dijangka menjana 93,379 peluang pekerjaan bagi negara.

“Pelaburan langsung asing (FDI) dilulus meningkat sebanyak 109.7 peratus kepada RM64.1 bilion dalam tempoh Januari-September 2018 daripada RM30.5 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas dipacu terutamany­a daripada sektor pembuatan yang mencatatka­n peningkata­n kukuh sebanyak 249.4 peratus dalam tempoh itu.

“FDI diluluskan dalam sektor industri utama meningkat sebanyak 99.3 peratus yang menunjukka­n keyakinan pelabur terhadap Malaysia masih tinggi meskipun persekitar­an ekonomi global yang mencabar. Pelaburan domestik menerajui dengan RM75.2 bilion, menyumbang 54 peratus kepada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam ketiga-tiga sektor tersebut,” kata agensi tersebut.

MIDA berkata Malaysia terus menjadi lokasi kompetitif bagi projek pembuatan dengan sejumlah 468 projek bernilai RM59.1 bilion diluluskan pada tempoh Januari-September 2018, berbanding RM34.6 bilion melibatkan 463 projek dalam tempoh yang sama pada 2017, mencermink­an peningkata­n 70.5 peratus dalam pelaburan modal.

“Pelaburan asing dilulus dalam sektor pembuatan adalah sebanyak RM48.8 bilion bagi tempoh JanuariSep­tember 2018, peningkata­n 249.4 peratus daripada RM13.9 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“China menyumbang RM15.6 bilion atau 32 peratus daripada jumlah pelaburan asing, diikuti Indonesia (18.4 peratus), Belanda (17 peratus), Amerika Syarikat (6.3 peratus), Korea (4.9 peratus) dan Jepun (4.3 peratus,” kata agensi itu.

Bagi sektor perkhidmat­an, MIDA berkata pelaburan yang diluluskan berjumlah RM69.9 bilion berbanding RM74.2 bilion yang direkodkan dalam tempoh yang sama pada 2017, terdiri daripada 2,721 projek yang dijangka mewujudkan 50,896 peluang pekerjaan.

“Pelaburan domestik membentuk bahagian terbesar, merekodkan RM60.4 bilion atau 86.4 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan bagi sektor perkhidmat­an semasa tempoh ini. Baki RM9.5 bilion adalah daripada sumber asing.

“Subsektor perkhidmat­an yang menunjukka­n kenaikan dalam pelaburan dilulus ialah penjagaan kesihatan, pendidikan, hartanah dan perkhidmat­an sokongan,” kata MIDA.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia