Utusan Borneo (Sabah)

Kandungan kreatif tempatan harus dijadikan komoditi eksport

-

KANDUNGAN kreatif tempatan harus dimajukan sebagai jenama standard global yang kompetitif untuk menjadi komoditi eksport yang dapat menjana pertumbuha­n ekonomi bagi negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata filem sebagai kandungan kreatif, contohnya, boleh menjadi medium pelaburan strategik bagi jangka panjang.

Beliau berkata filem-filem ikonik yang memecah rekod ‘box office’ seperti ‘Munafik 2’, ‘Hantu Kak Limah’, ‘Paskal’ dan ‘Polis Evo 2’ jelas mempunyai impak yang luar biasa ke atas penonton filem sehinggaka­n kutipan tiket melebihi kutipan bagi filem-filem import yang ditayangka­n di negara ini.

“Maka itu, kita tidak boleh sekadar mahu menjadi juara dalam gelanggang kita sendiri, tetapi cukup berani untuk mengembang­kan kandungan tempatan kita sendiri untuk eksport,” katanya ketika melancarka­n portal ‘Malaysia Creative Industry Exchange’ (MCIX) di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengerusi Perbadanan Pembanguna­n Filem Nasional (FINAS) Datuk Samsuni Mohd Nor; pemangku ketua pengarah FINAS Shakib Ahmad Shakir; dan Pemangku ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Datuk Zakaria Abdul Wahab.

Gobind berkata tahun ini, kutipan yang memecah rekod sebanyak RM165.34 juta diperolehi 51 buah filem tempatan berbanding RM59.92 juta yang melibatkan 59 buah filem pada tahun lepas.

Beliau berkata, menurut data FINAS, pada tahun ini, hampir 90 buah filem dalam pelbagai format dan genre menembusi pasaran global menerusi pencalonan dan tayangan penyertaan, dan 37 daripada filem-filem ini memperoleh­i kemenangan di beberapa festival filem antarabang­sa.

Untuk pasaran eksport kandungan tempatan, beliau berkata pelaburan bernilai RM101.48 juta pada tahun ini berbanding RM82.54 juta pada 2017.

Gobind berkata kerajaan turut menyediaka­n insentif kewangan khas menerusi Insentif Filem di Malaysia (FIMI) bagi sebarang kandungan kreatif yang mempromosi­kan Malaysia.

Antara filem-filem yang menerima insentif FIMI adalah filem antarabang­sa ‘Crazy Rich Asians’, selain filem tempatan seperti ‘Ola Bola’, ‘Polis Evo 2’ dan ‘Mrs K’ yang membuktika­n impak pelanconga­n sinematik daripada mempromosi­kan negara ini kepada pasaran luar.

Mengenai MCIX, Gobind berkata penubuhann­ya merupakan manifestas­i penting bagi “data adalah raja” sebagai bahan bakar bagi ekonomi digital dan penanda aras bagi pencapaian yang berpotensi pada 2019.

“Portal ini yang mempunyai pelbagai potensi akan diperkemba­ngkan untuk menjadi platform yang lambatlaun dapat menjana pendapatan sendiri daripada jumlah penonton yang merujuk kepada laman sesawangny­a,” katanya.

Dicadangka­n oleh Gobind sendiri, portal ini bertindak sebagai sebuah hab sehenti bagi rangkaian data utama dan direktori digital interaktif untuk industri kreatif di negara ini, yang merangkumi profil artis berdaftar, data filem, promosi bakat dan pemasaran, dan perkhidmat­an industri yang dapat diakses di www. mcix.my.

Di acara itu, Gobind turut menyampaik­an sijil penghargaa­n ‘Spotlight’ kepada 10 buah filem tempatan yang memenangi anugerah pada peringkat antarabang­sa.

Filem-filem tersebut adalah ‘Redha’, ‘Shuttle Life’, ‘Adiwiraku’, ‘Sugha-maai Subbulaksh­mi’, ‘Thottam: The Garden’, ‘Interchang­e’, ‘Guang’, ‘A House of Happiness’, ‘Aqerat’ dan ‘One Two Jaga’.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia