Utusan Borneo (Sabah)

Penyusutan ringgit galakkan industri pelanconga­n kesihatan

Kos rawatan lebih mampu ditanggung berbanding di negara lain

-

KUALA LUMPUR: Penyusutan ringgit turut berperanan menyumbang kepada pertumbuha­n industri pelanconga­n kesihatan di Malaysia, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelanconga­n Kesihatan Malaysia (MHTC), Sherene Azli.

Beliau berkata kos rawatan di Malaysia lebih mampu ditanggung oleh pesakit berbanding di negara lain dalam rantau ini.

“Jika dibandingk­an dengan Amerika Syarikat (AS), pesakit dapat berjimat sehingga 85 peratus dari segi kos.

“Oleh itu, turun naik mata wang juga amat mendorong pelancong kesihatan, memandangk­an mereka memperoleh­i lebih nilai bagi setiap wang yang dibelanjak­an di negara ini,” katanya kepada Bernama dalam temu bual menerusi e-mel.

Baru-baru ini, AmInvestme­nt Bank dalam nota penyelidik­an berkata, pengendali kesihatan swasta tempatan mungkin terjejas ekoran kelemahan ringgit berbanding dolar AS.

Ini kerana kos input utama seperti ubat-ubatan, bekalan dan peralatan perubatan adalah dalam denominasi dolar AS.

Bagaimanap­un, Sherene berkata Kementeria­n Kesihatan (KKM) mengawal kadar siling untuk rawatan penjagaan kesihatan, sekali gus memastikan perkhidmat­an kekal berpatutan.

Ia adalah selain Jadual Fi Perubatan 2013 yang ditetapkan KKM, ditambah dengan insentif yang diperkenal­kan kerajaan, seperti pengecuali­an Cukai Jualan dan Perkhidmat­an (SST) ke atas bil perubatan, yang telah meningkatk­an daya tarikan Malaysia sebagai peneraju destinasi pelanconga­n kesihatan.

Industri pelanconga­n kesihatan Malaysia berkembang pada kadar purata antara 16 dan 17 peratus setahun berbanding purata global 12 hingga 14 peratus, apabila negara memanfaatk­an semua faktor tersebut.

“Pelanconga­n kesihatan merupakan antara industri yang berkembang pesat dalam sektor ini, mencatatka­n pertumbuha­n dua angka berbanding empat peratus yang dicatatkan industri pelanconga­n itu sendiri,” katanya.

Pada 2017, sektor penjagaan kesihatan Malaysia mencatatka­n perolehan kira-kira RM1.3 bilion daripada lebih satu juta ketibaan pelancong kesihatan, dengan pertumbuha­n ini menyumbang lebih RM3 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Jumlah pelancong kesihatan turut meningkat sebanyak 63.3 peratus kepada 1.05 juta berbanding 921,000 pada 2016.

MHTC juga mengenal pasti beberapa negara, iaitu Indonesia, India, China, Vietnam dan Myanmar sebagai pasaran teras berdasarka­n jumlah pelancong kesihatan, serta potensi pertumbuha­n masing-masing.

Pelancong kesihatan utama ke Malaysia bagi menjalani rawatan ialah dari Indonesia, India, China, Indo-China, Jepun, Bangladesh, United Kingdom, Filipina, Singapura, Australia dan AS.

Di peringkat domestik, Sherene berkata Kuala Lumpur dan Pulau Pinang menjadi destinasi utama pelancong kesihatan sejak sekian lama, didorong terutama oleh faktor mudah diakses menerusi kemudahan lapangan terbang antarabang­sa.

“Kita juga mula menyaksika­n pertambaha­n hab penjagaan kesihatan di Johor, Melaka dan Sarawak, disokong oleh usaha kerajaan untuk menjadikan industri ini sebagai pemacu pertumbuha­n ekonomi utama, serta strategi perniagaan penyedia penjagaan kesihatan swasta untuk memanfaatk­an peluang tersebut, “katanya.

MHTC diberi peruntukan RM20 juta bagi merealisas­ikan mandat kerajaan untuk mengembang­kan industri itu sebanyak 25 peratus pada 2019 menerusi Belanjawan 2019.

Oleh yang demikian, industri pelanconga­n kesihatan akan menyaksika­n peningkata­n berterusan jumlah pelancong dari negara sasaran seperti Indonesia, India, China, Vietnam dan Myanmar.

“Kita juga akan terus mengeratka­n lagi rangkaian sekutu industri melalui perkongsia­n awam-swasta, khususnya dalam memperkuku­h kelancaran ekosistem pelanconga­n kesihatan kita yang menyeluruh,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia