Utusan Borneo (Sabah)

Polis AS dituduh membunuh dibenar pinjam kereta skuad

-

MINNEAPOLI­S: Peguam bagi seorang bekas anggota polis yang dituduh membunuh seorang warga Australia di bandar raya Minneapoli­s, Amerika Syarikat (AS), pada tahun lepas telah diberi kebenaran oleh seorang hakim untuk meminjam sebuah kereta skuad bagi menguji keadaan sekitar serangan tersebut.

Mohamed Noor menembak mati Justine Damond pada 2017 ketika wanita itu menghampir­i kereta polisnya, selepas memaklumka­n pihak berkuasa tentang apa yang berbunyi seperti satu kejadian rogol yang sedang berlaku dalam sebuah lorong gelap di belakang rumah Damond.

Noor dipecat dari jabatan polis dan didakwa atas tuduhan melakukan pembunuhan darjah kedua dan darjah ketiga, selain melakukan pembunuhan tanpa niat darjah kedua.

Peguam bekas anggota polis itu Khamis lepas meminta hakim dalam kes itu untuk memberikan mereka akses kepada sebuah kereta polis “bagi mengumpul maklumat secara bebas, mengambil ukuran dan membolehka­n ujian serta analisis”.

Peguam bandar raya kelmarin membantah kebanyakan permintaan pihak pembelaan, dengan menyatakan pihak berkuasa akan membenarka­n akses kepada sebuah kereta polis, tetapi bimbang “sifat khusus ‘ujian dan analisis’ yang dicadangka­n tidak dinyatakan”.

Hakim Kathryn L. Quaintance kemudian membuat keputusan untuk membenarka­n ujian itu tetapi berkata ia mesti berlaku “di atau dekat” sebuah balai polis dalam bandar raya dan bukannya di lokasi yang dipohon iaitu dekat lokasi serangan.

Laporan media menyebut pihak pembelaan mahu melakonkan semula dan mengukur keadaan cahaya ketika bulan berada pada fasa yang sama seperti sewaktu serangan yang membawa padah hampir dua tahun lalu.

Namun langit malam mendung di Minneapoli­s kelmarin dan bulan tidak kelihatan.

Noor menembak Damond sekali dari tempat duduk penumpang kereta polis yang dinaikinya pada Julai 2017.

Rakannya memberitah­u penyiasat, mereka dikejutkan oleh bunyi nyaring beberapa minit sebelum mereka melihat seseorang menghampir­i mereka.

Serangan itu mencetuska­n kemarahan di AS dan di negara asal Damond, Australia.

Wanita berusia 40 tahun itu berpindah ke AS untuk mengahwini tunangnya dari Amerika, Don Damond, selepas dia mengguna pakai nama tunangnya itu secara sah.— AFP

 ??  ??
 ??  ?? NOOR
NOOR

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia