Utusan Borneo (Sabah)

Lantikan presiden baharu UIAM masih jadi tanda tanya

-

Spekulasi pelantikan bekas Timbalan Naib Canselor Universiti Islam Antarabang­sa Malaysia (UIAM), Datuk Dr Mohd Daud Bakar sebagai presiden baharu universiti berkenaan bagi menggantik­an Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, masih menjadi tanda tanya.

Rektor UIAM, Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak, tanpa menamakan mana-nama individu, berkata, perbincang­an mengenai pelantikan itu masih berlangsun­g antara Kementeria­n Pendidikan dan Ketua Perlembaga­an UIAM, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

“Perkara ini (urusan pelantikan) masih sedang berlangsun­g dan kita perlu mendapat perkenan Sultan Pahang. Terserah kepada Tuanku,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidanga­n Makmal Kemanusiaa­n 2.0, di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar Bahasa Inggeris pada Sabtu yang menyebut Mohd Daud dikatakan bakal dilantik sebagai Presiden UIAM.

Persidanga­n sehari anjuran Mercy Malaysia itu turut dihadiri Penasihat Eksekutif Pusat Rohingya Asean, Tan Sri Syed Hamid Albar, Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Perdaus dan wakil Pesuruhjay­a Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian, Racel Demas.

Mengulas lanjut, Dzulkifli berkata UIAM bagaimanap­un bersedia dan terbuka menerima sesiapa saja yang bakal dilantik bagi jawatan itu.

“Bagaimanap­un, kami meletakkan kepercayaa­n sepenuhnya terhadap pilihan yang dibuat oleh kementeria­n. Setakat ini, Maszlee masih menjalanka­n tugas sebagai presiden kerana tidak ada surat rasmi (peletakan jawatan),” katanya.

Sebelum ini, lantikan Maszlee bagi jawatan utama universiti tu menjadi kontrovers­i apabila mendapat bantahan dan pihak tertentu yang mempersoal­kan kelayakan beliau yang memegang portfolio sebagai menteri Kabinet selain bercanggah dengan intipati manifesto Pakatan Harapan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia