Protes antikerajaan Sudan belum ada kesudahan
Pihak polis Sudan melepaskan tembakan gas pemedih mata kelmarin bagi meleraikan tunjuk perasaan di ibu negara Khartoum dan bandar berkembarnya Omdurman, menurut beberapa saksi, selepas penunjuk perasaan berkumpul di jalan raya selepas solat Zuhur.
Beberapa rali antikerajaan telah menggegarkan bandarbandar di sekitar Sudan sejak 19 Disember ketika bantahan mula meletus akibat satu keputusan kerajaan untuk menaikkan harga roti.
Penunjuk perasaan melaungkan “kebebasan, kedamaian dan keadilan” berkumpul di sebuah masjid di Omdurman, sebaris dengan Khartoum di tebing barat Nil, menurut beberapa orang saksi.
Pihak polis telah menggunakan gas pemedih mata bagi meleraikan tunjuk perasaan itu dan satu bantahan berasingan di utara Khartoum, menurut beberapa orang saksi.
Pada lewat kelmarin, Persatuan Profesional Sudan, kumpulan yang meliputi para doktor, guru dan jurutera yang telah menganjurkan sebahagian bantahan, menyatakan salah seorang ketuanya telah ditangkap.
Jurucakapnya Mohamed Naji al-Assam telah ditangkap pada petang kelmarin dan lokasinya kini tidak diketahui, menurutnya dalam satu kenyataan.
Pada Khamis lepas, pasukan keselamatan telah menahan wartawan dan kolumnis terkenal Faisal Mohamed Salih dari pejabatnya di Khartoum, menurut ahli keluarganya.
Beberapa ketua pembangkang, aktivis dan wartawan telah ditangkap dalam tindakan yang dilakukan ejen keselamatan bagi menghalang penyebaran bantahan.
Pada awal kelmarin, pasukan keselamatan telah dikerahkan di sekitar dataran utama di kedua-dua buah bandar sebelum keganasan yang dijangkakan.
Presiden Omar al-Bashir telah memberitahu polis agar mengelak dari menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan selepas 19 orang, termasuk dua kakitangan keselamatan, terbunuh dalam pertempuran.
Kumpulan hak asasi Amnesty International menyatakan 37 orang telah terbunuh dalam bantahan setakat ini.
“Kadangkala kita terpaksa menggunakan senjata,” Bashir berkata semasa menghadiri pertemuan bagi ketua Sufi lewat Khamis lepas.
“Namun kita menggunakannya pada peringkat yang sangat minimum untuk mengekalkan keselamatan serta menghalang pembunuhan orang lain,” kata beliau.
Sudan berdepan krisis pertukaran matawang asing yang akut dan inflasi yang meningkat meskipun Amerika Syarikat (AS) sudah menarik balik embargo dagangan selama dua dekad pada 2017.
Inflasi berada pada kadar 70 peratus, sementara kekurangan roti dan minyak kerapkali menjejaskan beberapa bandar.