Utusan Borneo (Sabah)

Doktor muda ditipu dalam jual beli alat penghawa dingin

-

KUANTAN: Seorang doktor muda kerugian RM3,700 dalam penipuan berkaitan penjualan alat penghawa dingin dalam laman sosial, dua hari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa, lelaki berusia 27 tahun, mendakwa telah memuatnaik iklan untuk menjual alatan itu ke internet pada 2 Jan lepas.

Katanya, selang dua hari kemudian, mangsa menerima pesanan WhatsApp daripada seorang lelaki dan hasil perbincang­an, mereka bersetuju dengan harga RM1,000 bagi penghawa dingin itu.

“Mangsa mendakwa suspek memaklumka­n telah membuat bayaran pada 6.45 petang Jumaat lepas, sebelum mangsa menerima e-mel kononnya dari sebuah bank berkaitan pembayaran dari luar negara.

“E-mel itu menyatakan mangsa perlu membayar RM3,700 yang dikatakan sebagai duit pemprosesa­n kepada ejen kerana dibuat menerusi akaun luar negara,” katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Mohd Wazir menambah mangsa telah menjelaska­n bayaran yang diminta menerusi empat transaksi wang yang dimasukkan ke dalam akaun bank seorang wanita, namun sekali lagi diminta untuk membuat pembayaran RM500.

Mangsa yang berasa ditipu akhirnya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini pada Sabtu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia