Utusan Borneo (Sabah)

Kolam didakwa milik Puteri Saadong terbiar

-

KOTA BHARU: Sebuah kolam yang didakwa sebagai tempat mandi-manda Puteri Saadong di Kampung Serendah Sekebun Bunga di Ketereh di sini, didakwa terbiar dan tidak dipedulika­n pihak berwajib biarpun mempunyai unsur sejarah yang unik.

Selain kolam, kawasan berkenaan yang seluas 700 meter persegi turut didakwa sebagai tapak istana lama ketika pemerintah­an Cik Siti Wan Kembang dan mempunyai sebuah taman yang indah.

Lebih menyedihka­n, tapak warisan sejarah yang sewajarnya dilindungi itu terbiar dan hanya dijaga penduduk kampung yang mahu sejarah pemerintah­an Kelantan itu terus kekal dikenali masyarakat.

Penjaga taman dan kolam berkenaan, Mohd Sidek Mat Husain, 50, berkata dia mengambil alih kerja menjaga kawasan itu secara sukarela selepas kematian penjaga asal iaitu sepupunya sendiri, Hashim Isa sejak 2007.

Mohd Sidek berkata meskipun bukan berketurun­an diraja ataupun Puteri Saadong namun sebagai penduduk asal dia tidak mahu kawasan yang bersejarah itu lenyap begitu sahaja.

“Walaupun kedudukan kolam ini tersembuny­i tetapi sehingga kini semakin ramai pengunjung yang datang termasuk orang biasa.

“Sebelum ini pengunjung adalah terdiri daripada golongan mendakwa keturunan Puteri Saadong dan ada yang datang dari jauh menjengah kolam di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Ahad.

Beliau berkata pada tahun lepas Perbadanan Muzium Kelantan ada berkunjung ke kolam berkenaan dan menyatakan badan tersebut tidak mempunyai dana untuk memelihara kawasan bersejarah itu disebabkan ketiadaan peruntukan.

Selain itu, Mohd Sidek berkata Perbadanan Muzium Kelantan turut menyatakan kawasan kolam dan taman yang terletak terlalu hampir dengan sungai sudah pasti terdedah kepada hakisan dan mungkin lenyap.

“Setakat ini kawasan kolam sepanjang 200 meter ini saya jaga secara sukarela kerana tidak mahu ia berkubur begitu sahaja. Saya berharap ada pihak yang sanggup membiayai kos pemulihara­an taman dan kolam ini kerana ia amat penting dari segi sejarah,” katanya.

Katanya, beliau mendapat surat kebenaran daripada Perbadanan Muzium Kelantan pada Oktober 2018 dan disahkan sebagai penjaga rasmi kawasan berkenaan bagi mengelakka­n perkara khurafat dan perbuatan tidak bertanggun­gjawab dilakukan di situ.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia