Utusan Borneo (Sabah)

Harga MSM sekitar RM2,000-RM2,100 satu tan

-

KUALA LUMPUR: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivative­s dijangka kekal dalam dagangan berhati-hati berikutan strategi pengambila­n untung minggu ini dengan harga diunjur sekitar RM2,000 dan RM2,100 satu tan.

Peniaga Kanan Sawit Interband Group of Companies, Jim Teh berkata ini susulan harga komoditi itu lebih tinggi pada minggu pertama tahun ini yang kekal melebihi paras RM2,000.

“Sudah menjadi kelaziman untuk peniaga mengambil untung masing-masing selepas harga mencecah paras lebih tinggi.

“Walaupun paras inventori lebih tinggi kira-kira tiga juta tan pada November 2018, namun pada pendapat kami, faktor harga minyak yang tidak menentu serta ketegangan perdaganga­n antara Amerika Syarikat dan China yang berterusan itu menyebabka­n prestasi MSM agak baik pada awal 2019.

“Minggu depan misalnya, peniaga akan memberi perhatian kepada data Lembaga Minyak Sawit Malaysia pada 10 Januari mengenai prestasi industri minyak sawit sepanjang Disember 2018 bagi menentukan langkah seterusnya,” katanya kepada Bernama.

Teh juga menyifatka­n paras harga semasa MSM adalah akomodatif berbanding 2007 apabila harganya sekitar RM1,500 satu tan.

Sementara itu, Peniaga Derivatif Phillip Futures Sdn Bhd, David Ng berkata permintaan yang lebih kukuh pada bulan-bulan akan datang bersempena musim perayaan, akan turut membantu mengurangk­an paras inventori negara ini.

“Kami melihat paras sokongan pada RM2,100 satu tan manakala paras rintangan pada RM2,250 satu tan,” katanya.

Sepanjang tempoh musim cuti lepas, harga MSM banyak dipengaruh­i oleh harga minyak serta prestasi aliran ringgit berbanding dolar AS.

Malah, berita mengenai langkah India mengurangk­an cukai import terhadap MSM dan minyak sawit bertapis berkuat kuasa 1 Jan, 2019, turut memacu kenaikan harga komoditi itu.

Duti ke atas MSM Malaysia, Indonesia dan negara-negara lain ASEAN dikurangka­n kepada 40 peratus daripada 44 peratus manakala cukai terhadap minyak sawit bertapis diturunkan kepada 45 peratus berbanding 54 peratus, sebelum ini.

Pada Khamis, Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim berkata beliau menjangkak­an harga MSM didagangka­n antara RM2,700 dan RM2,800 satu tan, tahun ini.

“Penggunaan minyak itu akan lebih ketara menjelang sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi,” katanya yang turut berharap Malaysia dapat mengembang­kan minyak sawit ke pasaran baharu di China, Afrika dan Timur Tengah.

Bagi minggu yang baharu berakhir, harga kontrak hadapan MSM diniagakan secara bercampur-campur.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak Januari 2019 naik RM86 kepada RM2,090 satu tan, Februari 2019 menokok RM46 kepada RM2,120 satu tan, Mac 2019 meningkat RM30 kepada RM2,151 satu tan dan April 2019 menambah RM32 kepada RM2,194 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan turut bertambah kepada 109,007 lot daripada 97,848 lot pada Jumaat lepas manakala kepentinga­n terbuka kekal pada 255,104 kontrak.

Pasaran ditutup pada Selasa bersempena cuti umum Tahun Baharu 2019.

Di pasaran fizikal, Januari Selatan meningkat RM70 kepada RM2,100 satu tan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia