Utusan Borneo (Sabah)

Wang percuma bukan penyelesai­an atasi kemiskinan nelayan dan petani: PM

-

MARANG: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan bantuan dan wang percuma bukanlah penyelesai­an dalam membantu atasi kemiskinan di kalangan nelayan dan petani.

Sebaliknya, beliau berkata golongan itu perlu berusaha dan mengambil pendekatan yang berubah daripada cara tradisi, supaya mampu bersaing serta menjana pendapatan lumayan.

“Kerajaan akan tukar cara... jadi rakyat juga perlu tukar (cara) untuk atasi masalah kemiskinan dalam negara.

“Kita tidak boleh bergantung kepada pemberian wang percuma, tetapi perlu tambah pengeluara­n untuk tingkat pendapatan,” katanya ketika berucap di majlis bersama nelayan dan petani di Dewan Majlis Daerah Marang, di sini.

Turut hadir Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.

Dr Mahathir berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga kini giat berusaha melakukan transforma­si dalam bidang pertanian sepertiman­a negara lain.

Dengan mengambil contoh negara China, beliau berkata walaupun penduduk di negara itu seramai 1.4 bilion, namun mereka dapat memenuhi keperluan dalam negara mereka tanpa bantuan luar, berbanding dengan negara ini walaupun hanya mempunyai populasi seramai 32 juta tetapi terpaksa mengimport bekalan makanan dari negara luar.

“Sesebuah negara perlu mampu membekalka­n sekurang-kurangnya 50 peratus keperluan bekalan makanan dari punca dalam negara. Tanah kita masih luas tetapi kita masih perlu mendapatka­n makanan daripada luar seperti sayur sayuran sedangkan kita boleh keluarkan semua ini dengan sendiri,” katanya.

Di hadapan hampir 1,000 golongan petani dan nelayan, Dr Mahathir sempat mencadangk­an agar mereka bukan sahaja mempelbaga­ikan jenis tanaman tetapi juga perlu bersepakat menggabung­kan tanah mereka agar lebih luas bagi memaksimak­an pengeluara­n.

Selain itu katanya, golongan nelayan perlu selari dengan arus perubahan bidang itu dengan menggunaka­n bot laut dalam dan menyediaka­n peti sejuk beku agar mampu berada lama di laut serta mendapatka­n lebih banyak hasil tangkapan.

Sementara itu ketika ditemui pemberita selepas majlis itu dan ditanya berhubung pembayaran royalti petroleum, Dr Mahathir berkata ia akan dibayar seperti yang diterima oleh negerinege­ri lain seperti Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Bagaimana pun beliau tidak menjelaska­n berapa amaun dan bila pembayaran akan dibuat kepada kerajaan Terengganu.

“Kita dah buat keputusan royalti (petroleum). Ia akan kita bagi sama (dengan negeri pengeluar minyak) .. mengenai baki bayaran kalau ada (duit) kita bagi lah,” katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia