Utusan Borneo (Sabah)

Datuk Seri Vida rugi kira-kira RM100,000 barang rosak ribut

-

IPOH: Jutawan kosmetik Datuk Seri Dr Hasmiza Othman mengalami kerugian kira-kira RM100,000 apabila produk jualannya mengalami kerosakan setelah khemah di gudang penyimpana­n barang di Jelapang 2 di sini, roboh akibat ribut yang melanda pada Ahad.

Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida berkata semasa kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang, 10 orang pekerja yang berada di khemah tersebut sedang membuat kerja manakala beliau dalam perjalanan ke gudang tersebut.

“Semalam hujan lebat dan tiba-tiba angin kuat sehinggaka­n khemah di gudang roboh dan menghempap barang jualan.

“Pekerja saya yang berada di khemah sempat menyelamat­kan diri, namun barang yang banyak di khemah seperti skincare, produk minuman, tidak dapat diselamatk­an dan rosak,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.

Katanya, beberapa cermin serta bumbung di gudang yang telah beroperasi setahun lebih itu turut mengalami kerosakan kerana terkena besi khemah berkenaan.

Beliau berkata angin kuat selalu berlaku di kawasan tersebut, namun kejadian seperti itu adalah yang pertama dan beliau menganggap ia adalah ujian daripada Allah.

“Walaupun kejadian itu berlaku pelanggan tetap memberi sokongan dan datang ke gudang membeli produk saya,” katanya.

Menurut Datuk Seri Vida, produk jualan yang diletakkan di khemah tersebut adalah untuk promosi jualan murah yang dibuat selama tiga hari sejak Jumaat lepas.

Hujan lebat pukul 3.30 petang Ahad menyebabka­n kira-kira 20 rumah di Gugusan Manjoi di sini, mengalami kerosakan teruk dan ada penduduk yang terpaksa dipindahka­n sementara ke surau Kampung Kolam.

Kejadian ribut juga melanda di kawasan Bagan Serai dengan enam rumah di Kampung Pusat Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) Bukit Merah mengalami kerosakan teruk, manakala 10 lagi rosak di bahagian bumbung. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia