Utusan Borneo (Sabah)

Jakim perlu wajibkan pengusaha restoran ada sijil halal sebelum beroperasi: Permas

-

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu mewajibkan semua pengusaha premis makanan halal mendapatka­n sijil pengesahan halal bagi kemudahan pelanggan Islam.

Presiden Persatuan Pengusaha Makanan Melayu Islam Wilayah Persekutua­n & Selangor (Permas) Ayob Abd Majid berkata syarat itu perlu bagi semua premis termasuk restoran, warung dan ‘food truck’ sama ada yang sedang beroperasi atau ingin memulakan perniagaan.

Langkah itu dapat membantu pelanggan Muslim yang kadangkada­ng keliru dengan status halal sesebuah restoran yang menjual makanan kepada pelanggan Muslim.

“Setakat ini kita dapati tiada lagi garis panduan dari Jakim yang mewajibkan pengusaha restoran untuk ada sijil halal, (ini kerana) selagi mana pengusaha ada sijil boleh berniaga dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Suruhanjay­a Syarikat Malaysia (SSM) mereka boleh terus membuka restoran.

“Restoran-restoran besar seperti hotel dan francais, mereka perlu ada sijil halal Jakim untuk mula beroperasi, justeru Permas mencadangk­an untuk Jakim mewajibkan juga perkara ini kepada pengusaha restoran yang menjual makanan halal supaya pelanggan Muslim lebih yakin dengan status halal sesebuah restoran,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Ayob berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pemeriksaa­n bersepadu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang dijalankan semalam terhadap sebuah restoran di Shah Alam, pada mulanya mendapati seorang pemilik bersama restoran itu beragama Hindu.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia