Utusan Borneo (Sabah)

Penduduk Kg Tinusa 1 mohon pembelaan KM Sabah bantu selesaikan masalah tanah

-

SANDAKAN: Penduduk Kampung Tinusa 1 di sini memohon pembelaan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk membantu menyelesai­kan masalah tanah mereka yang dikatakan telah ‘dimiliki’ oleh individu lain.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Generasi Endrekang Sabah Erwin @ Batilis Jaraman berkata masalah penduduk kampung itu bermula sejak awal 2000-an apabila mengetahui tanah mereka berstatus anak negeri (NT) seluas 2.07 hektar, yang dihuni 23 keluarga, turut dimiliki individu lain dengan status pegangan pajakan (CL).

Malah, penduduk berkenaan telah menerima notis daripada peguam pihak lawan yang menyebut Mahkamah Tinggi telah memerintah­kan pada 4 Dis lepas agar penduduk kampung terbabit mengosongk­an kawasan itu mulai 27 Dis lepas hingga hari ini (7 Jan).

“Mereka (penduduk) bukanlah penceroboh. Mereka adalah bumiputera dan tanah ini hak mereka kerana nama pengguna tanah ada atas kertas.

“Kami juga tidak tahu bila status tanah boleh bertukar dari NT kepada CL. Jadi, persatuan kami memohon agar kerajaan membantu penduduk kampung ini, yang majoriti anggota persatuan kami, daripada ditindas,” katanya kepada pemberita selepas perhimpuna­n penduduk kampung itu pada Isnin bagi memohon kerajaan mengiktira­f hak mereka ke atas tanah itu.

Erwin juga berkata kes itu telah beberapa kali dibawa ke mahkamah untuk penyelesai­an, namun gagal mendapat pembelaan.

Wakil penduduk kampung berkenaan Haji Samsuddin Bacho, 76, berkata penduduk berkenaan kini kehabisan sumber untuk melantik peguam dan menuntut keadilan di mahkamah.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia