Utusan Borneo (Sabah)

Rakyat Kelantan hormati keputusan peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong

-

KOTA BHARU: Peletakan jawatan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke15 pada Ahad mengejutka­n rakyat negeri ini.

Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) Datuk A. Aziz Deraman berkata keputusan itu sudah pasti menimbulka­n tanda tanya kerana semua sedia maklum akan keperibadi­an sultan yang berjiwa rakyat itu.

“Namun sebagai rakyat kita terima keputusan yang dibuat itu dengan hati terbuka kerana sudah tentu keputusan itu dibuat dengan kebijaksan­aan baginda yang telah mengambil kira semua perkara,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, pada Isnin.

A. Aziz menegaskan, apa yang lebih penting ketika ini adalah institusi beraja perlu sentiasa diperkukuh dan dihormati oleh semua rakyat kerana ia lambang kedaulatan negara.

Rakyat perlu tahu dan sedar akan kepentinga­n institusi beraja termasuk kedudukan Agong dalam tampuk pemerintah­an negara, tegasnya.

“Siapapun yang akan menggantik­an Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas ini, kita, rakyat perlu tumpahkan taat setia dan kukuh bersama mempertaha­nkan institusi beraja di negara ini,” katanya.

Penasihat Persatuan Siam Kelantan Eh Chot Cha Chan berkata masyarakat Siam sentiasa menumpahka­n taat setia dan menghormat­i keputusan yang dibuat Sultan Muhammad V itu.

Katanya walaupun masih terkejut dengan keputusan itu, masyarakat Siam gembira dengan kepulangan Sultan Muhammad V ke Kelantan kerana akan memayungi semula pemerintah­an di negeri ini.

“Kita doakan tuanku terus diberi kesihatan yang baik dan dapat memayungi rakyat dengan aman dan makmur,” katanya.

Istana Negara dalam satu kenyataan pada Ahad mengumumka­n Sultan Muhammad V meletak jawatan sebagai Yang diPertuan Agong ke-15 yang disifatkan sebagai yang pertama dalam sejarah negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz yang memaklumka­n perkara itu berkata peletakan jawatan itu selaras Perkara 32(3) Perlembaga­an Persekutua­n. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia