Utusan Borneo (Sabah)

RTM dan Radio Thailand Satun bakal sambung kerjasama

-

SATUN, (Thailand): Jabatan Penyiaran Perlis (RTM) dan Radio Thailand Satun akan memperkuku­hkan semula kerjasama dua hala khususnya dalam perkongsia­n berita semasa dan program-program agama yang terhenti sejak 1996.

Pengarah Jabatan Penyiaran Perlis, Ahmad Zaki Mustafa berkata sebagai langkah awal, kedua-dua pihak akan mengadakan perbincang­an bagi mengenal pasti kaedah untuk melaksanak­an kerjasama itu.

“Sebelum ini, kita terpaksa ke sempadan untuk tukar bahan seperti cakera padat (CD) dan pita rakaman. Urusan ini melibatkan kos dan masa. Dengan menggunaka­n teknologi seperti internet, urusan ini dapat dilakukan dengan lebih mudah dan cepat,” katanya kepada Bernama semalam.

Beliau menyertai lawatan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullai­l dalam program Ziarah Mahabbah ke Wilayah Satun, semalam.

Tuanku Syed Faizuddin serta Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang turut sama dalam lawatan itu berkenan melawat stesen tersebut.

Pada akhir lawatan itu, Ahmad Zaki menyerahka­n surat hasrat untuk menjalinka­n semula kerjasama kepada Pengarah Radio Thailand Satun, Leftenan Komander Nosma Leesen.

Ahmad Zaki berkata Nosma menyambut baik cadangan kerjasama itu dan akan membawa perkara itu kepada Jabatan Perhubunga­n Awam, Pejabat Perdana Menteri Thailand.

Nosma juga, kata beliau, berharap kerjasama itu merangkumi pertukaran maklumat mengenai budaya, pelanconga­n dan keagamaan.

“Saya juga akan membawa perkara ke peringkat atasan,” kata Ahmad Zaki.

Radio Thailand Satun boleh didengar menerusi frekuensi FM dan AM 99.5 MHz, 95.5 MHz dan 1206 KHz AM yang disiarkan dalam bahasa Thai dan bahasa Melayu.

Stesen radio ini boleh didengar di seluruh Wilayah Satun, sebahagian Trang, Phattalung dan Wilayah Songkhla di samping Perlis, Kedah dan Pulau Langkawi. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia