Utusan Borneo (Sabah)

Miliki wang RM1,400 tanpa sebab munasabah, pekerja am didenda

-

KOTA KINABALU: Seorang pekerja am yang gagal memberikan sebab munasabah bagaimana memiliki wang sebanyak RM1,400 dalam akaunnya, dikenakan denda RM140 oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Afiq Agoes menjatuhka­n hukuman itu terhadap seorang wanita Saily Siring, 23, selepas mengaku salah mengikut Seksyen 22 A Ordinan Kesalahan Kesalahan Kecil Bab 80 Negeri Sabah.

Hukuman yang diperuntuk­kan denda maksimum RM100 atau penjara selama tiga bulan, atau kedua-dua sekali.

Untuk dua pertuduhan berkenaan, tertuduh gagal memberikan sebab yang munasabah bagaimana memiliki wang masing-masing sebanyak RM700 dalam akaunnya, pada 1 Disember tahun lalu jam 12.04 tengah hari dan 9 pagi.

Bagi setiap kesalahan terbabit, mahkamah mengenakan denda sebanyak RM70 atau penjara selama dua minggu dikenakan.

Semasa rayuan peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) meminta hukuman ringan dikenakan, kerana tertuduh mempunyai tiga anak berusia antara enam dan dua tahun serta bayi 10 bulan.

Sementara itu, Majistret Stephanie Sherron Abbie mengenakan denda sebanyak RM2,000 atau penjara dua bulan terhadap seorang lelaki yang menjalanka­n operasi hiburan awam melebihi masa yang ditetapkan.

Mohd Fadil Hamsa dijatuhkan hukuman berkenaan selepas mengaku salah, melakukan kesalahan terbabit pada 6 Januari jam 3.15 pagi di sebuah premis hiburan di sini.

Tertuduh disabitkan mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Hiburan Awam 1958 yang boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara selama setahun, atau kedua-duanya.

Kedua-dua pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Cif Insp Lim Swee Beng dan Insp Suzie@Stephanie Kupit.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia