Utusan Borneo (Sabah)

Pekerja restoran warga India dipenjara 54 bulan, sebabkan kematian rakan senegara

-

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja restoran warga India dijatuhi hukuman penjara 54 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa selepas mengaku bersalah menyebabka­n kematian tanpa niat.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhka­n hukuman itu ke atas N.Arumugan, 45, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraa­n kes itu.

Mahkamah memerintah­kan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 12 Mei 2018.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah rumah di Jalan Ismail Ghaney, Off Jalan Ipoh, Kampung Kasipillay di sini antara 11.30 malam, 10 Mei 2018 hingga 1 pagi, 11 Mei tahun lepas mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Aris Kamaluddin memohon hukuman berat kerana ia merupakan kesalahan serius, bagaimanap­un, Arumugan yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan ini adalah kesalahan tanpa niat.

Mengikut fakta kes, pada 10 Mei tahun lepas tertuduh dan mangsa telah pulang ke rumah dalam keadaan mabuk selepas meraikan suatu perayaan dan semasa berada di rumah tersebut berlaku pertengkar­an dan menyebabka­n mangsa dan tertuduh bertumbuk sehingga mangsa jatuh lalu terkena bucu meja dalam rumah itu.

Tertuduh kemudianny­a berhenti bergaduh dan menolong mangsa.

Pada keesokanny­a, tertuduh telah mengejutka­n mangsa untuk pergi bekerja namun mangsa memberitah­u bahawa dia tidak sihat dan tertuduh telah membawa mangsa ke hospital.

Bagaimanap­un, mangsa telah meninggal dunia di hospital akibat kecederaan pada otak berikutan pergaduhan antara mangsa dan tertuduh.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia