Utusan Borneo (Sabah)

Lelaki Jepun dipenjara, sebat dan denda kerana pecah amanah harta syarikat

-

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus syarikat menjual peralatan golf warganegar­a Jepun dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa kerana pecah amanah harta syarikat itu dengan menjual peralatan golf tanpa pengetahua­n syarikat, pada hari pertama dia bekerja.

Shinohara Koji, 39, selaku Orang Kena Saman (OKS) turut dikenakan dua sebatan dan denda RM10,000 atau sebulan penjara jika gagal membayar denda itu.

Hakim Hasbullah Adam menjatuhka­n hukuman itu selepas Shinohara menukar pengakuann­ya kepada bersalah pada sebutan semula kes dan dia diperintah­kan menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia didakwa di mahkamah pada 3 Dis, 2018.

Mengikut tuduhan, lelaki itu didakwa sebagai seorang pengurus syarikat yang telah digajikan dan diamanahka­n dengan penguasaan lima set peralatan golf berjumlah RM103,562 telah melakukan pecah amanah harta itu dengan menjual kesemua peralatan itu tanpa pengetahua­n syarikat.

Dia melakukan perbuatan itu di J Golf Sdn Bhd, Lot 1, Level G3, Publika, Solaris Dutamas, Jalan Dutamas 1, di sini antara 1.00 pagi dan 11.59 malam, 4 Dis 2017 mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda.

Ketika rayuan, peguam Nurhannah Mustapha yang mewakili Shinohara memohon anak guamnya hanya dikenakan hukuman paling minima dengan alasan Shinohara adalah pesalah kali pertama dan dia tidak pernah didakwa di negara ini atau mana-mana negara lain selain dia perlu menyara kedua ibu bapanya yang sudah tua, di Jepun.

Shinohara kemudian memohon kepada mahkamah untuk membuat rayuannya sendiri dan dalam bahasa Jepun yang diterjemah­kan kepada bahasa Malaysia oleh seorang jurubahasa lelaki.

“Saya rasa bersalah dan saya insaf dari hati… saya mohon maaf. Saya pun tidak tahu kenapa saya buat perkara ini. Setiap hari saya dalam penjara (direman), saya memikirkan macam mana untuk membayar gantirugi itu. Saya betul-betul insaf. Saya mahu peluang kedua untuk kesilapan saya..,” kata Shinohara.

Timbalan Pendakwa Raya, S.Malini Anne memohon mahkamah menjatuhka­n hukuman setimpal mengambil kira Shinohara adalah seorang lelaki dewasa dan berpendidi­kan sewajarnya mengetahui bahawa tindakan mengambil barangan milik syarikat adalah kesalahan serius selain hukuman adalah untuk memberi pengajaran kepada Shinohara dan masyarakat lain.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia