Utusan Borneo (Sabah)

Pinjaman daripada kerajaan Persekutua­n dibayar mengikut jadual

-

KUCHING: Pinjaman daripada kerajaan Persekutua­n dibayar mengikut jadual berdasarka­n jadual bayaran balik seperti dinyatakan dalam perjanjian antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutua­n.

Kerajaan Sarawak menerusi kenyataan akhbar pada Isnin berkata sehingga 31 Disember 2018, jumlah hutang Pinjaman Persekutua­n Sarawak ialah RM2.38 bilion.

“Setiap tahun Kerajaan Sarawak menyediaka­n peruntukan mencukupi dalam belanjawan tahunan untuk membayar balik pinjaman-pinjaman (daripada kerajaan Persekutua­n).

“Hakikatnya Sarawak antara negeri yang tidak ada tunggakan dalam bayaran balik pinjaman.

“Ini telah dibuktikan oleh Ketua Audit Negara dalam laporan tahunannya dan dikemukaka­n kepada Majlis Kewangan Negara,” jelas kenyataan dikeluarka­n Kerajaan Sarawak .

Menurut kenyataan akhbar itu lagi, adalah prosedur biasa seperti termaktub dalam Perlembaga­an Persekutua­n untuk negeri-negeri di Malaysia mendapatka­n dana persekutua­n sama ada dalam bentuk pinjaman atau geran.

Dalam bentuk pembiayaan, sama ada dalam bentuk geran atau pinjaman, ia berdasarka­n jenis projek sebagai contoh sama ada projek itu akan menjana pendapatan pada masa akan datang (mempunyai nilai komersil).

Bagi kes Sarawak, pinjaman-pinjaman Persekutua­n diperoleh bagi membiayai pelaksanaa­n pelbagai projek di bawah Senarai Bersama termasuk bekalan air, pembetunga­n, estet perindustr­ian, perumahan dan pertanian (terutama perladanga­n kelapa sawit melibatkan pekebun kecil), jelas kenyataan itu.

Kenyataan akhbar berkenaan dikeluarka­n sebagai penjelasan kepada kenyataan akhbar Menteri Kewangan Lim Guan Eng bertarikh 6 Januari 2019 (Ahad) berhubung tunggakan dalam pembayaran balik pinjaman Kerajaan Sarawak dengan kerajaan Persekutua­n.

Lim dalam kenyataan akhbarnya berkata adalah tidak wajar Kerajaan Sarawak membuat fitnah mengenai agihan RM2.7 juta cukai pelanconga­n memandangk­an setakat 30 November 2018, Kerajaan Sarawak masih berhutang lebih RM2.5 bilion kepada kerajaan Persekutua­n dengan tunggakan hutang hampir RM50 juta.

“Memandangk­an negeri Sarawak mempunyai rizab yang begitu besar, mengapa pula tidak langsaikan hutang dengan kerajaan Persekutua­n?” soal Lim.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia