Utusan Borneo (Sabah)

Tekad yang kuat tentukan kejayaan berhenti merokok

-

BUKAN mudah untuk membuang tabiat yang telah sebati dan menjadi darah daging sejak berpuluh tahun lamanya.

Namun tiada apa yang mustahil jika diiringi tekad yang teguh dan kesediaan untuk berubah seperti yang dikongsi seorang perokok tegar, Nik Abdul Halim Nik Mat.

Nik Abdul Halim,

63, berkata beliau mula menjadi perokok tegar sejak 35 tahun lepas namun kini berjaya menghentik­an tabiat buruk itu selepas mengikuti program berhenti merokok di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Ogos tahun lalu.

“Ternyata ia bukan sesuatu yang mudah kerana saya mula merokok sejak berumur 26 tahun. Bila tidak merokok kita rasa kehidupan seperti tidak ‘lengkap’ dan rasa tidak tenang. Namun atas nasihat doktor, saya nekad untuk berhenti merokok dan telah berjaya melakukann­ya,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, Selasa.

Katanya, beliau sudah lama menyimpan hasrat untuk berhenti merokok namun kerap kali usahanya gagal kerana kebanyakan rakannya mempunyai tabiat yang sama.

Namun sejak dirinya dikesan mengalami gastrik yang teruk pada awal tahun lepas, beliau nekad untuk merealisas­ikan hasratnya itu.

Katanya, selepas sesi pertama rawatan beliau berjaya mengurangk­an pengambila­n rokok daripada 14 batang sehari kepada empat batang dalam tempoh dua minggu dan berjaya berhenti merokok sepenuhnya selepas menghadiri empat sesi rawatan.

“Saya bermula dengan mengambil pendekatan melengahka­n keinginan untuk merokok selepas makan selama 20 minit dan tempoh itu dilanjutka­n lebih lama dari sehari ke sehari,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Keluarga dan Pengamal Perubatan Berhenti Merokok HUSM, Dr Faridah Mohd Zin berkata hampir 90 peratus faktor kejayaan untuk berhenti merokok adalah dipengaruh­i tekad dan kesedaran perokok sendiri.

Katanya, mereka yang telah mempunyai kesedaran mempunyai kecenderun­gan tinggi untuk mematuhi nasihat yang diberi dan mengikuti langkah yang ditetapkan untuk berhenti merokok.

“Kebanyakan golongan ini terdiri daripada mereka yang telah mendapat komplikasi penyakit tertentu atau pesakit yang dirujuk,” katanya.

Dr Faridah berkata bagaimanap­un sejak tahun lepas Klinik Berhenti Merokok HUSM mula mendapat perhatian perokok yang hadir secara sukarela untuk mendapatka­n khidmat bimbingan bagi menghentik­an tabiat merokok.

“Kebanyakan perokok yang mampu menahan ketagihan merokok dalam tempoh tiga minggu berpotensi tinggi untuk ‘bebas dari tabiat merokok sepenuhnya,” katanya.

Dr Faridah berkata bantuan khidmat nasihat dan beberapa kaedah ubat gantian yang disediakan di klinik berkenaan mampu membantu perokok berhenti merokok.

Klinik berkenaan menyediaka­n sesi rawatan sehari seminggu iaitu pada setiap hari Isnin melibatkan lima perokok bagi setiap sesi rawatan dengan purata keseluruha­n kira-kira 80 perokok baharu dirawat setiap tahun.

Mereka yang ingin mendapatka­n khidmat nasihat untuk berhenti merokok boleh menghubung­i talian 097673510 untuk menetapkan waktu sesi kaunseling bersama Pegawai Perubatan.

Bermula 1 Jan lepas, kerajaan mewartakan semua premis makanan sebagai tempat larangan merokok. -Bernama

 ?? -Gambar Bernama ?? PAKAR Perubatan Keluarga dan Pengamal Perubatan Berhenti Merokok Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Dr Faridah Mohd Zin ketika ditemui Bernama berhubung Klinik Berhenti Merokok di HUSM Kubang Kerian.
-Gambar Bernama PAKAR Perubatan Keluarga dan Pengamal Perubatan Berhenti Merokok Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Dr Faridah Mohd Zin ketika ditemui Bernama berhubung Klinik Berhenti Merokok di HUSM Kubang Kerian.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia