Utusan Borneo (Sabah)

Tampar lengan doktor wanita, kontraktor dipenjara sebulan

-

KUALA LUMPUR: Seorang kontraktor dijatuhi hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini, pada Rabu kerana menampar lengan kiri seorang doktor wanita ketika cuba menenangka­n lelaki itu semasa proses mengambil darah anaknya di Hospital Ampang, di sini.

Majistret Haslinda A. Raof menjatuhka­n hukuman itu ke atas Shafudin Sulong, 40, selepas dia mengaku bersalah dengan sengaja mendatangk­an kecederaan terhadap seorang doktor wanita berusia 32 tahun di Bilik 1, Zon Hijau Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Ampang, pada 3.20 pagi, 6 Jan lalu.

Mahkamah memerintah­kan bapa anak satu itu menjalani hukuman penjara tersebut bermula Rabu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Shafudin yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman denda ke atasnya dengan alasan dia hanya menolak lengan mangsa sahaja.

Bagaimanap­un, Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius selain doktor itu hanya cuba untuk menenangka­nnya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh dan isterinya membawa anak lelaki mereka yang berusia lima tahun ke Hospital Ampang untuk mendapatka­n rawatan sebelum mangsa yang merupakan doktor di hospital itu terdengar bunyi bising dari Bilik 1, Zon Hijau Jabatan Kecemasan.

Doktor wanita itu kemudian memasuki bilik itu dan melihat seorang jururawat sedang mengambil darah anak tertuduh, namun, lelaki yang tidak berpuas hati dengan proses pengambila­n darah itu bertindak memarahi dan mengugut untuk menampar jururawat berkenaan.

Mangsa kemudian cuba menenangka­n tertuduh, namun tertuduh semakin marah dan beliau pula diugut akan ditampar sebelum lelaki itu diarahkan keluar dari bilik berkenaan.

Tertuduh kemudian bertindak menampar lengan doktor itu hingga mengakibat­kan kesan merah dan kesakitan di lengan kirinya.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia