Utusan Borneo (Sabah)

Peniaga ditemukan rentung dalam kebakaran

-

IPOH: Seorang peniaga ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran di rumah teres dua tingkat di Taman Pinji Mewah di sini, Rabu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Nashuha Fahd Ahmad Mijar berkata lelaki itu dikenali sebagai Ooi Hock Chuan, 63, ditemukan dalam keadaan terbaring di ruang tamu rumah.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut daripada jiran mangsa pada 4.14 pagi sebelum tiga jentera bersama 17 anggota dikejarkan ke lokasi bagi memadam kebakaran.

“Ketika tiba di tempat kejadian, pihak bomba mendapati kebakaran itu telah memusnahka­n 80 peratus bahagian bawah dan atas rumah terbabit,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Rabu.

Nashuha berkata jiran mangsa memaklumka­n bahawa dia nampak mangsa telah keluar dari rumah terbabit untuk menyelamat­kan diri tetapi masuk semula ke dalam rumah.

“Kemungkina­n ketika mangsa masuk semula ke dalam rumah api sudah marak dan mangsa tidak dapat keluar semula. Api marak begitu cepat kerana terdapat banyak barangan lusuh di dalam rumah itu.

“Anggota bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah lain dan operasi tamat sepenuhnya pada 7.39 pagi,” katanya.

Menurut Nashuha, mangsa yang berniaga di pasar karat di sini, dipercayai belum berkahwin dan tinggal seorang diri di rumah berkenaan.

Katanya, punca kejadian masih disiasat dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia