Utusan Borneo (Sabah)

PHEPIM saran tindakan tegas terhadap peniaga bukan Islam guna unsur kesucian Islam

-

KOTA BHARU: Persatuan Hal Ehwal Pengguna Islam Malaysia (PHEPIM) menggesa Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil tindakan lebih tegas terhadap peniaga bukan Islam yang sengaja memperguna­kan unsur-unsur kesucian Islam untuk melariskan perniagaan mereka.

Yang Dipertua PHEPIM Datuk Seri Dr Fared Abdul Ghani berkata ‘strategi’ perniagaan seperti itu, mencermink­an sikap tidak jujur para peniaga yang mahu mendapat keuntungan hasil daripada penipuan ke atas pengguna majoriti di negara ini.

“Tindakan pengusaha ini sebagai cubaan mengeliruk­an pengguna bagi menarik pelanggan beragama Islam datang ke premis mereka.

“Ia sudah meragut hak pengguna Islam untuk mendapatka­n produk yang disahkan halal, jangan hanya fikir keuntungan, fikirkan juga hak-hak yang perlu dipatuhi oleh pengguna,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Rabu.

Sebelum ini media melaporkan pemilik sebuah restoran di Seksyen 25, Shah Alam diarahkan menurunkan ayat al-Quran yang digantungk­an serta-merta berikutan tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah sehingga menimbulka­n kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

Justeru, Fared berkata pihak berwajib khususnya KPDNHEP harus mengambil tindakan lebih tegas terhadap peniaga yang sengaja mempamer tulisan Jawi atau ayat al-Quran di premis perniagaan mereka bagi menipu pengguna beragama Islam.

“Penipuan seumpama ini telah berlaku agak lama dalam kalangan pengusahan restoran ‘mamak’ di seluruh negara dan perlu dibanteras segera.

“Terdapat peniaga bukan Islam namun berpenampi­lan seperti beragama Islam dan mempamerka­n tulisan ‘Allah’ dan ‘Muhammad’. Ada juga yang meletakkan ayat-ayat al-Quran untuk menarik pelanggan beragama Islam ke premis mereka,” katanya.

Katanya pihaknya akan melakukan pemantuan di semua restoran terutama bukan Islam bagi turut sama menangani masalah itu.

“Kami berterima kasih kepada pihak yang melaporkan perkara ini kerana laporan yang dibuat boleh mendedahka­n identiti sebenar pemilik, pekerja, tahap kebersihan dan sebagainya,” katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia