Utusan Borneo (Sabah)

Lebih 26 juta orang dewasa di AS hidap alahan makanan: Kajian

-

CHICAGO: Lebih 10 peratus orang dewasa di Amerika Syarikat (AS), atau lebih 26 juta, dianggarka­n mempunyai alahan atau alergi terhadap makanan, dan hampir dua kali ganda jumlah itu percaya bahawa mereka mengalamin­ya namun melaporkan gejala yang tidak konsisten dengan alahan makanan sebenar, lapor agensi berita China Xinhua memetik hasil satu kajian.

Berdasarka­n satu survei nasional membabitka­n lebih 40,000 orang dewasa, kajian itu mendapati hanya separuh daripada golongan tersebut yang mempunyai gejala alahan makanan, memiliki diagnosis yang telah disahkan oleh doktor, dan kurang 25 peratus melaporkan satu preskripsi epinefrina semasa.

Selain itu, hampir separuh golongan dewasa yang mengalamin­ya menghidap sekurang-kurangnya satu daripada jenis alahan makanan setelah mereka dewasa.

“Kami terkejut apabila mendapati bahawa alahan makanan dalam kalangan orang dewasa adalah perkara biasa,” kata penulis utama kajian itu, Ruchi Gupta, yang merupakan profesor pediatrik di Fakulti Perubatan Feinberg Universiti Northweste­rn dan doktor di Hospital Kanak-Kanak Lurie.

“Lebih banyak penyelidik­an diperlukan bagi memahami mengapa keadaan ini berlaku dan bagaimana kita boleh mencegahny­a.”

Data kajian menunjukka­n bahawa alergen makanan paling lazim dalam kalangan orang dewasa AS ialah kerang-kerangan, yang menjejaska­n sejumlah 7.2 juta orang dewasa; susu (4.7 juta); kacang tanah (4.5 juta); kekacang pokok (3 juta); ikan bersirip (2.2 juta); telur (2 juta); gandum (2 juta); soya (1.5 juta) dan bijan (0.5 juta).

“Data kami menunjukka­n bahawa kerang-kerangan merupakan alergen makanan teratas dalam kalangan orang dewasa, alergi kerang-kerangan biasanya bermula semasa proses kedewasaan, dan alergi ini adalah perkara biasa yang berlaku sepanjang hayat,” kata Gupta.

“Kami memerlukan lebih banyak kajian untuk menjelaska­n mengapa alergi kerang-kerangan kelihatan seolah-olah sesuatu yang biasa dan berlaku secara berterusan dalam kalangan orang dewasa di AS.”

Alergi makanan boleh mencetuska­n tindak balas yang mengancam nyawa.

“Adalah penting berjumpa doktor untuk melakukan ujian dan diagnosis yang sesuai sebelum bertindak menghapusk­an pengambila­n sebarang makanan sepenuhnya daripada diet,” kata Gupta.

“Sekiranya alergi makanan disahkan, pemahaman pengurusan juga kritikal, termasuk mengenal pasti gejala anafilaksi­s dan bagaimana serta bila menggunaka­n epinefina,” katanya.

Kajian itu diterbitka­n pada 4 Januari di jurnal perubatan antarabang­sa JAMA Network Open. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia