Utusan Borneo (Sabah)

Mahu lulus ujian memandu, pelajar acu pisau kepada anggota JPJ

-

NILAI: Hanya kerana mahu lulus ujian memandu, seorang penuntut kolej bertindak diluar jangkaan dengan mengacukan sebilah pisau kepada seorang anggota Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ).

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar berkata dalam kejadian 10.23 pagi semalam di Mantin, lelaki yang berusia 18 tahun itu berang selepas dimaklumka­n anggota JPJ berkenaan yang bertugas sebagai penguji bahawa beliau telah gagal kerana telah melakukan beberapa kesalahan jalan raya.

“Antaranya tidak berhenti ketika lampu isyarat merah. Justeru pengadu telah meminta calon berkenaan untuk berhenti iaitu 50 meter daripada persimpang­an lampu isyarat Batang Benar di sini bagi tujuan menukar pemandu.

“Calon bagaimana pun masih kekal di tempat memandu dan telah mengambil beg berwarna hitam yang diletakkan di tempat duduk belakang serta mengeluark­an sebilah pisau potong sayur berukuran 12 inci dan mengacukan di rusuk kanan pengadu,” katanya kepada Bernama di sini, pada Rabu.

Beliau mengulas mengenai insiden berkenaan yang tular di media sosial pada Rabu.

Mohd Nor Marzukee berkata walaupun diarahkan bertenang oleh pengadu, lelaki berkenaan berulang kali memberitah­u mahu lulus ujian memandu selepas beliau sebelum ini gagal sebanyak tiga kali.

“Anggota JPJ berkenaan bagaimanap­un dapat membuka pintu kereta lalu keluar dari kenderaan dan seterusnya menghubung­i penyelia calon dan polis bagi mendapatka­n bantuan,” katanya.

Susulan itu, sepasukan anggota polis telah bergegas ke lokasi kejadian dan telah menahan suspek.

“Ujian air kencing ke atas suspek yang berasal dari Kuala Lumpur itu mendapati negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan bunuh,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPJ Negeri Sembilan Azrin Borhan yang mengesahka­n kejadian itu berkata pihaknya menyerahka­n kes berkenaan kepada polis.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia