Kelulusan MM2H kuasa KDN
Penjelasan Mohammaddin berkaitan isu lambakan 3,000 permohonan di seluruh negara
LAHAD DATU: Kelulusan bagi permohonan Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata MM2H yang dianjurkan sejak 2015 itu masih dikelola secara bersama dengan KDN dan keputusan akhir ditentukan kementerian terbabit.
“Sejak dari awal penganjuran program MM2H ini, keputusan dan kelulusan akhir diputuskan KDN.
“Di pihak kita pula, kita masih mengambil permohonan terbabit dan kita serahkan kepada KDN untuk kelulusan.
“Kementerian kita tidak punya banyak perundangan yang perlu dipatuhi pemohon kerana akta-akta berkaitan adalah di bawah bidang kuasa KDN,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Kerja Tindakan Daerah Lahad Datu bagi sesi 2019 di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Lahad Datu pada Khamis.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Silam berkata demikian ketika menjawab soalan media berhubung dakwaan lambakan permohonan MM2H yang masih belum mendapat kelulusan.
Isu itu sebelumnya diutarakan Persatuan Program Malaysia Rumah Keduaku yang mendakwa hampir 3,000 permohonan masih tidak mendapat kelulusan daripada kementerian.
Mohamaddin berkata tidak timbul isu birokrasi atau pemindahanprogramMM2H kepada KDN, sebaliknya permohonan terbabit perlu melalui proses yang tertakluk di dalam KDN.
“Ini bukan perkara baharu kerana ia telah dipraktikkan sebelum ini dan saya mohon agar pemohon dapat bersabar,” katanya.
Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Dumi Masdal dan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Assaffal P Alian.
Dalam perkembangan lain, Mohamaddin berkata Jawatankuasa Kerja Tindakan Daerah Lahad Datu akan membuat tindakan yang sewajarnya bagi membendung permasalahan aktiviti komuniti Pala’u.
“Mereka sedikit sebanyak telah menimbulkan masalah terutama kepada industri pelancongan di Lahad Datu. Oleh itu, kita akan mencari jalan penyelesaian yang baik,” katanya.
“Kementerian kita tidak punya banyak perundangan yang perlu dipatuhi pemohon kerana akta-akta berkaitan adalah di bawah ” bidang kuasa KDN. DATUK MOHAMADDIN KETAPI Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya